Penyerang muda yang semakin mencipta nama bersama skuad B-22 negara, N. Thanabalan mahu terus mengorak langkah dalam karier bolasepaknya yang semakin bergemerlapan demi merubah nasib dan masa depan keluarganya.
Thanabalan, penyerang Negeri Sembilan yang dipinjamkan ke pasukan Liga FAM, Felcra FC musim ini memikul tanggungjawab berat sebagai ketua keluarga setelah bapanya mengalami lumpuh akibat kemalangan pada tahun 2013.
Selain bapanya, S.Nadarajah, dia perlu turut menyara ibunya yang merupakan suri rumah, V.Thirusundari serta dua adik – Keeteswaran dan Keerthika yang masih bersekolah.
“Pendapatan saya sebagai pemain remaja tidaklah begitu tinggi. Saya bukan seorang yang materialistik. Tetapi saya perlu meraih pendapatan lebih kerana adik saya masih bersekolah selain membiaya kos rawatan ayah saya. Ianya bukan mudah untuk mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga dalam sekelip mata.
“Saya percaya prestasi yang baik di atas padang akan membantu meningkatkan reputasi dan profil saya sekaligus tawaran yang baik akan datang dengan sendiri. Ketika ini kedudukan kewangan adalah lebih baik tetapi saya bertekad untuk terus melakukan segala yang terbaik demi keluarga saya,” kata Thanabalan.
Pemain kelahiran Seremban itu yang dilabel sebagai ayam tambatan Felcra FC setelah meledak lima jaringan, ketika ini sedang menjalani latihan pusat bersama skuad B-22 tahun kendalian Dato’ Ong Kim Swee dan baru-baru ini telah menyertai pasukan beraksi di Jelajah China.
Dia beraksi dalam kesemua tiga perlawanan dan turut menjaringkan satu gol ketika menentang skuad simpanan Guangzhou Evergrande. Malah, Thanabalan juga menjaringkan gol tunggal negara ketika mengikat China B-22 di Kejohanan Piala Dubai B-23 pada Mac lalu.
Justeru melihat kepada peningkatan dan prestasi semasa, ianya mengukuhkan potensi pemain itu untuk berada dalam senarai akhir 25 pemain bagi menghadapi Kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok pada Julai depan.
Kim Swee dijangka mengumumkan senarai pemainnya selepas berakhir perlawanan persahabatan menentang Melaka United pada 22 Jun ini.
“Saya berpuas hati dengan prestasi saya sepanjang di China, saya telah cuba berikan yang terbaik dan berharap akan dapat memikat jurulatih bagi beraksi di Kelayakan AFC dan juga Sukan Sea pada Ogos. Saya tekad membantu pasukan negara untuk meraih pingat emas di KL 2017,” katanya.
Dalam saingan Kelayakan AFC B-23, Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama Thailand, Indonesia dan Mongolia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN