100PLUS, minuman isotonik No. 1 negara, dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memperbaharui perkongsian yang telah terjalin selama dua dekad untuk tempoh empat tahun lagi sehingga 2028. 100PLUS dan BAM menandatangani perjanjian tajaan pertama mereka pada tahun 2003 dan telah menjadi rakan kongsi sejak itu.

Seperti mana perjanjian sebelum ini, 100PLUS akan terus menjadi Rakan Minuman Rasmi untuk kejohanan-kejohanan dan aktiviti BAM termasuk Badminton Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia, selain tajaan untuk skuad kebangsaan.

100PLUS juga sentiasa  menyokong kuat  pembangunan pemain muda  dan merupakan penaja utama Sirkit Remaja Kebangsaan 100PLUS untuk tempoh agak lama. Program ini kini telah dijenamakan semula sebagai Jelajah Elit Remaja yang menyaksikan 100PLUS sebagai penaja bersama. Kejohanan Antara Negeri Kebangsaan Bawah 12 & Bawah 16 100PLUS akan menjadi satu lagi program pembangunan penting yang akan terus didokong oleh 100PLUS.

“Kami amat gembira dapat meneruskan perkongsian ini bersama BAM untuk tempoh empat tahun lagi. Kami telah menjalinkan hubungan yang hebat selama 20 tahun yang lalu, dan kami teruja untuk meneruskan kerjasama ini sehingga tahun 2028,” kata Leong Wai Yin, Ketua Pegawai Pemasaran, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd. “Apabila kami mula bekerjasama dengan BAM, hasrat kami adalah untuk menyumbang kepada badminton Malaysia dan usaha negara untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa. Kami ingin melihat pemain kita memenangi kejohanan utama termasuk Kejohanan Dunia dan Olimpik.”

Wai Yin berkata demikian pada sidang media bagi mengumumkan lanjutan kerjasama dengan BAM hari ini. Majlis turut dihadiri oleh Datuk V. Subramaniam, Pemangku Presiden BAM,  Encik Jordan Ng, Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn Bhd,  Dato’ Kenny Goh, Setiausaha Agung BAM, Wai Yin serta pegawai BAM dan 100PLUS.

Wai Yin menegaskan bahawa 100PLUS komited terhadap pembangunan pemain muda dan gembira untuk terus menyokong program ini. “Kami sudah berada cukup lama untuk melihat pemain berkembang dan maju dari peringkat remaja ke peringkat senior. Beberapa pemain telah mencapai keputusan luar biasa di pentas antarabangsa termasuk memenangi kejohanan Jelajah BWF dan Kejohanan Dunia.”

Untuk terus memberi galakan dan insentif tambahan kepada pemain kebangsaan, 100PLUS telah melantik beberapa pemain sebagai duta jenama. Bekas Juara Dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merupakan antara pemain BAM yang kini menjadi Duta Jenama 100PLUS. Pemain perseorangan utama Malaysia, Lee Zii Jia, juga ditaja oleh 100PLUS.

“Kami teruja dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan Datuk Subramaniam dan pasukannya bagi tempoh empat tahun akan datang. Saya juga ingin menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Dato’ Sri Norza Zakaria atas nasihat dan sokongannya selama ini.”

Sebagai sebahagian daripada perjanjian perkongsian ini, 100PLUS akan disediakan kepada pemain badminton Malaysia, termasuk pemain yang bertanding dalam kejohanan antarabangsa anjuran BAM seperti Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters. 100PLUS adalah minuman isotonik ideal untuk pemain yang ingin mencapai prestasi puncak dalam usaha mereka merah kejayaan tertinggi dalam kejohanan ini.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, melahirkan penghargaan di atas kerjasama yang berkenaan, dengan menyatakan: “Melahirkan pemain bertaraf dunia memerlukan kos yang besar, tetapi dengan sokongan berterusan daripada penaja seperti 100PLUS, kami dapat terus melabur dalam pembangunan pemain dan mengembalikan kedudukan Malaysia antara negara badminton elit di dunia. Perkongsian ini mencerminkan visi bersama untuk masa depan badminton Malaysia.”

Selain BAM dan para duta jenama, 100PLUS terus menaja Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta menjalin kerjasama dengan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM) untuk Anugerah SAM 100PLUS yang berprestij setiap tahun. Pelumba basikal bertaraf dunia, Datuk Azizulhasni Awang, juga merupakan Duta Jenama 100PLUS.

100PLUS, sebagai Penaja Perak bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Para ASEAN 2017, turut menyokong pelbagai program sukan lain di Malaysia termasuk aktiviti-aktiviti Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -