ELENA Goh Ling Yin mengetepikan saingan sengit untuk menamatkan kemarau emas Malaysia bagi acara 10km jalan kaki wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Rabu (23 Ogos).
Elena, 21, menghabiskan perlumbaan dengan masa 52:21.50s manakala Thi Bich Ha dari Vietnam mendapat pingat perak dengan masa 52:27.78s. Atlet Thailand, T. Assawawongcharoen (53:17.10s) meraih gangsa.
Yuan Yu Fang, yang pernah memenangi emas 10km jalan kaki di Sukan SEA Brunei, menarik diri selepas perlumbaan dimulakan kerana kecederaan. “Saya tidak jangka akan menang dan pingat emas ini ditujukan kepada keluarga saya, yang selalu memberi ransangan. Mereka sumber kekuatan saya dan ada di kalangan mereka yang mengambil cuti dan datang dari Melaka untuk memberi sokongan,” kata mahasiswa Universiti Malaya jurusan pengurusan sukan itu.
“Saya amat emosional sekarang dan mahu menangis kegembiraan. Amat sukar berlumba dengan para atlet yang berpengalaman,” kata Elena.
Elena membuat penyertaan sulung di Sukan SEA di Singapura dua tahun lepas dan mendapat tempat keempat. “Saya ingin menyertai Sukan SEA di Myanmar pada 2013 tetapi disebabkan oleh peperiksaan SPM, saya bataIkan hasrat itu,” kata bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.
Catatan terbaik peribadinya ialah 51:42.42s yang dibuat bulan April di Kejohanan Olahraga Tertutup Malaysia di Lumut.