Empat aksi persahabatan telah diatur buat Skuad Hoki Senior Lelaki Kebangsaan sepanjang berada di Incheon, Korea bermula pada 18 Jun hingga 28 Jun 2023 dan seramai 20 pemain telah dipilih untuk menyertai Siri Jelajah Persahabatan menentang Pasukan Kebangsaan Korea.

Siri Jelajah Persahabatan Korea ini juga akan menjadi salah satu medan persediaan buat Skuad Kebangsaan menjelang Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia yang akan berlangsung pada 3 hingga 12 Ogos di Chennai India.

Selain itu, ia akan turut menjadi platform untuk dua pemain yang baru dipanggil menyertai Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Mohd Fitri Saari dan Abdul Khaliq Hamirin untuk membuktikan kemampuan mereka beraksi bersama pasukan serta menentang pasukan di ranking kesembilan dunia, Korea.

Mengulas mengenai empat perlawanan persahabatan di Incheon, Korea, Pengendali Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A. Arulselvaraj menyifatkan perlawanan persahabatan ini penting buat skuad bimbingannya bagi menguji tahap keupayaan mereka mengadaptasi sistem permainan baru yang digunakan oleh pasukannya.

“Kami kini mempunyai satu sistem permainan yang baru dan jelajah ini akan kami gunakan sebagai medan untuk bereksperimen dengan sistem baru yang telah kami terapkan di dalam pasukan.

“Selepas pulang daripada Piala Dunia 2023, kami telah melakukan sedikit perubahan kepada sistem permainan dan ini adalah peluang terbaik untuk pasukan menilai sejauh mana keberkesanan sistem baru yang kami terapkan.

“Jelajah ini juga dapat kami gunakan untuk menilai tahap kondisi fizikal pemain kerana 90 peratus perubahan yang kami lakukan melibatkan fizikal dan kekuatan pemain. Jadi kami akan menggunakan situasi dalam perlawanan untuk mengujinya.

“Saya juga ingin melihat pemain lebih mengambil tanggungjawab dalam permainan terutamanya dari segi kefahaman taktikal dan saya akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan untuk melihat bagaimana kemajuan yang ditunjukkan.

“Kami juga akan melihat bagaimana permainan pasukan Korea dan dari situ kami akan merancang apa penambahbaikan yang perlu kami lakukan untuk baki perlawanan persahabatan.

“Bagaimanapun fokus utama pasukan pada siri jelajah persahabatan ini adalah sistem permainan kami dan juga posisi pemain termasuk kekuatan fizikal mereka untuk bersaing. Terdapat juga sedikit perubahan posisi pemain yang akan saya lakukan pada siri jelajah persahabatan ini,” jelas beliau.

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan akan berlepas ke Incheon pada Ahad (18 Jun 2023) dan akan memulakan aksi perlawanan persahabatan pertama mereka pada 21 Jun 2023.

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang mengikuti Siri Jelajah Perlawanan Persahabatan menentang Korea.

NO NAMA POSISI
1 ADRIAN ANDY ALBERT PENJAGA GOL
2 MOHD ZAIMI MAT DERIS PENJAGA GOL
3 MUHAMMAD RAZIE ABD RAHIM PERTAHANAN
4 MUHAMMAD MARHAN MOHD JALIL PERTAHANAN
5 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL JAZLAN PERTAHANAN
6 MUHAMMAD AMINUDDIN MOHD ZAIN PERTAHANAN
7 MUHAMMAD SYAFIQ HASSAN PERTAHANAN
8 MUHAJIR ABDU RAUF PERTAHANAN
9 MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN PERTAHANAN
10 FAIZ HELMI JALI TENGAH
11 MEOR MUHAMMAD AZUAN HASSAN TENGAH
12 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR TENGAH
13 SHELLO SILVERIUS TENGAH
14 MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL TENGAH
15 ABDUL KHALIQ HAMIRIN TENGAH
16 MUHAMMAD FIRHAN ASHAARI PENYERANG
17 FAIZAL SAARI PENYERANG
18 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI PENYERANG
19 SHAHMIE IRFAN SUHAIMI PENYERANG
20 MOHD FITRI SAARI PENYERANG

 

Berikut merupakan barisan Pengurusan dan Kejurulatihan yang akan bersama ke Siri Jelajah Perlawanan Persahabatan menentang Korea.

NO NAMA POSISI
1 DATO’ MIRNAWAN NAWAWI PENGURUS PASUKAN
2 ARULSELVARAJ ANTHONISAMI KETUA JURULATIH
3 AZRUL EFFENDY BISTAMAM PENOLONG JURULATIH
4 KUMAR SUBRAMANIAM JURULATIH PENJAGA GOL
5 THOMAS MICHAEL DROWLEY JURULATIH KECERGASAN

 

Berikut merupakan jadual perlawanan persahabatan Malaysia menentang Pasukan Kebangsaan Korea pada Siri Jelajah Persahabatan Korea 2023.

NO HARI / TARIKH MASA
1. RABU : 21 JUN 2023 4:00 PETANG
2. JUMAAT : 23 JUN 2023 4:00 PETANG
3. AHAD : 25 JUN 2023 4:00 PETANG
4. SELASA : 27 JUN 2023 4:00 PETANG

 

**Masa Perlawanan Adalah Waktu Malaysia

- Advertisement -