Jaringan Mohamad Awalluddin Nawi di penghujung permainan memastikan Malaysia meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Vietnam dalam perlawanan pertama Kejuaraan Futsal Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018 di Taiwan.

Secara keseluruhan, Vietnam tampak dilihat lebih mendominasi saingan dan banyak berlegar di kubu Malaysia untuk merobek gawang negara.

Skuad kendalian Chiew Chun Yong juga berpeluang untuk memecah kebuntuan menerusi percubaan Syed Aizad Daniel dan Yazid Kamaruzan, namun penjaga gol Vietnam Ngi Dinh Thuan sukar untuk ditewaskan.

Sorakan penyokong Vietnam di Stadium Xinzhuang bergema seminit sebelum tamat separuh masa pertama apabila gerakan serangan balas Phung Trong Luan disudahkan Vu Duc Tung untuk meletakkan Miguel Rodrigo didepan 1-0.

Malaysia semakin kemas di babak kedua perlawanan dan mengatur serangan balas dengan lebih tersusun.

Lima minit terakhir perlawanan, Malaysia lebih banyak mengasak kubu Vietnam memaksa pemain pemain Miguel Rodrigo lebih banyak bertahan.

Percaturan Chun Yong ternyata berhasil apabila hantara Khairul Effendy disudahkan dengan kemas Mohamad Awalluddin Nawi untuk jaringan penyamaan.

Ketika keputusan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Awalluddin memanfaatkan kelekaan penjaga gol Vietnam Dinh Thuan untuk meledak gol kemenangan.

Kemenangan ini tidak dijangkakan oleh pengendali Malaysia, kerana melihat kedua dua pasukan mempunyai peluang seimbang.

“Saya menjangkakan perlawanan akan berakhir dengan keputusan seri. Sesiapa sahaja yang melakukan kesilapan akan menang.

“Saya berbangga dengan pemain kerana tidak berputus asa tetapi belum berpuas hati dengan persembahan mereka,”kata Chiew Chun Yong.

Mengulas tentang pertemuan dengan pasukan tuan rumah, Chiew Chun Yong tidak mengetahui banyak maklumat tentang pasukan Taiwan.

“Banyak ruang untuk diperbaiki. Saya tidak banyak tahu tentang pasukan Taiwan, tetapi saya tahu pembangunan mereka baik dan perlawanan mungkin sukar,”katanya lagi.

Bagi Miguel, mahu atau tidak, mereka perlu menerima hakikat kelekaan pemain dipenghujung permainan menghukum diri.

“Mereka (Malaysia) bertuah, dan inilah futsal, sukan yang menarik. Saya tidak boleh berpuashati dengan dengan keputusan ini tetapi kami bermain dengan baik.

“Agak malang kami gagal mengawal permainan di penghujung perlawanan. Kami akan kekalkan rentak permainan ini ketika berdepan Bahrain walaupun tidak pasti dapat kalahkan mereka atau sebaliknya.

Malaysia akan berdepan Taiwan bagi perlawanan kedua kumpulan A manakala Vietnam bertemu Bahrain dalam misi memburu kemenangan pertama. OLEH KU MOHD LUFTI 

 

 

- Advertisement -