Liga Hoki 5s Malaysia (Lelaki dan Wanita) 2024 bakal membuka tirai pada 16 hingga 20 Julai 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dengan 15 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita akan berentap bagi merebut kejuaraan musim 2024.
Format bagi musim 2024 menyaksikan setiap kategori lelaki dan wanita akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A (lelaki) akan menampilkan pasukan Pahang, Pulau Pinang, Melaka, PDRM, Perlis, Sarawak dan Perak sementara Kumpulan B (lelaki) dihuni oleh pasukan ATM, Terengganu, Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, dan Kedah.
Bagi Kategori Wanita pula, Kumpulan C menyaksikan pasukan Selangor, Pulau Pinang, PDRM, Negeri Sembilan, Sarawak dan Johor sementara Kumpulan D akan menampilkan pasukan Pahang, Kuala Lumpur, ATM, Melaka, Kelantan dan Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5s dan Prestasi Tinggi, En. Hasnizam Hassan nyata berpuas hati dengan peningkatan penyertaan pasukan pada tahun ini jika dibandingkan dengan musim 2023 di mana pada musim lalu, Kategori Lelaki menerima penyertaan daripada 11 pasukan manakala Kategori Perempuan menyaksikan penyertaan daripada 7 pasukan.
“Perbezaan pada edisi ketiga ini, walaupun ianya kategori terbuka, tetapi kami telah menetapkan syarat di mana setiap pasukan perlu mendaftarkan tiga pemain yang berusia 23 tahun ke bawah. Ini bagi memastikan matlamat kami iaitu untuk membangunkan sukan hoki 5s ini bagi persediaan Piala Dunia 2028 dapat dicapai.
“Walaupun Piala Dunia seterusnya akan berlangsung pada 2028, namun kami perlu melakukan persediaan awal dan kami percaya pemain yang berusia 23 tahun ke bawah ini mampu membantu membangunkan pasukan dan mereka perlu mengutip pengalaman sebanyak mungkin.
“Penganjuran liga ini juga akan menjadi medan untuk Jawatankuasa Hoki 5s menilai pemain-pemain yang boleh diserap untuk mewakili Pasukan Hoki 5s Kebangsaan (Lelaki dan Wanita) di mana tahun ini kami mempunyai dua kejohanan jemputan yang akan disertai.
“Kami telah menerima jemputan daripada Rusia di mana pasukan lelaki dan wanita akan memenuhi jemputan tersebut yang akan berlangsung pada 15 hingga 20 Ogos dan pada bulan November kami akan menyertai kejohanan 6th Asian Indoor and Martial Arts Games di Bangkok – Chonburi Thailand pada 25 hingga 30 November 2024.
“Kejohanan ini akan digunakan oleh Pasukan Hoki 5s Lelaki dan Wanita Kebangsaan sebagai salah satu siri persiapan bagi memastikan kami bersedia sepenuhnya untuk terus mencabar pasukan-pasukan lain di Piala Dunia 2028 nanti. Untuk pasukan lelaki, kami mempunyai misi untuk cuba mengekalkan kedudukan terbaik beraksi di pentas akhir,” jelasnya pada satu sidang media yang berlangsung hari ini.
Berikut merupakan senarai pasukan yang akan berentap bagi merebut kejuaraan Liga Hoki 5s Kebangsaan 2024 (Lelaki dan Wanita) 2024.
Kategori Lelaki | |
KUMPULAN A | KUMPULAN B |
PAHANG | ATM |
PULAU PINANG | TERENGGANU |
MELAKA | KUALA LUMPUR |
PDRM | KELANTAN |
PERLIS | SELANGOR |
SARAWAK | NEGERI SEMBILAN |
PERAK | JOHOR |
KEDAH |
Kategori Wanita | |
KUMPULAN C | KUMPULAN D |
SELANGOR | PAHANG |
PULAU PINANG | KUALA LUMPUR |
PDRM | ATM |
NEGERI SEMBILAN | MELAKA |
SARAWAK | KELANTAN |
JOHOR | PERAK |