Pertahanan muda Terengganu FC, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili tidak akan berputus asa untuk terus mencari tempat di skuad utama selepas beraksi cemerlang bersama pasukan bawah 23 tahun di pentas Piala MFL, musim lalu.
Kini dinaikkan pangkat untuk bersama pasukan utama, pemain berusia 21 tahun ini tidak menolak pentas Piala MFL antara yang menjadi landasan utama membantu dirinya meningkatkan prestasi sepanjang musim lalu.
Kini, kepercayaan yang diberikan oleh pengendali, Tomislav Steinbruckner tidak akan disia-siakan untuk Ubaidullah terus memantapkan lagi benteng pertahanan Terengganu FC selain sedar cabaran lebih besar menanti bagi merebut tempat.
“Bagi saya kewujudan Piala MFL musim lepas adalah cadangan yang baik untuk liga kita dan telah beri banyak peluang kepada pemain-pemain muda untuk melonjak naik.
“Ini adalah satu punca juga saya dapat naik ke skuad utama selain atas usaha diri sendiri dan secara tidak langsung Piala MFL ini beri saya minit bermain yang banyak.
“Sudah tentu saingan di skuad utama lebih tinggi dengan kehadiran pemain import baharu juga tetapi bagi saya setiap peluang itu akan ada jika kita berlatih bersungguh-sungguh.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan dan juga ketua jurulatih atas kepercayaan ini dan pencapaian tahun lepas akan jadi batu loncatan kepada saya di sini,” jelasnya.
Antara pemain yang dapat beraksi untuk dua final pada musim lalu iaitu final Piala MFL dan Piala Malaysia, Ubaidullah merasakan itu antara kenangan paling manis dalam kariernya.
Dua pentas final itu telah berjaya membentuk dirinya sebagai pemain muda yang berbakat sehingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala MFL selain mampu untuk bersaing bersama pemain-pemain senior yang lain.
“Ya, itu semestinya satu pengalaman yang cukup berharga dan mungkin susah dah nak ulangi pengalaman seperti itu.
“Walaupun final kedua (Piala Malaysia) saya beraksi dengan sedikit kecederaan tetapi situasi ini mematangkan saya untuk saya lebih belajar selepas ini.
“Aura final itu sendiri memang berbeza dan sebagai pemain muda, ianya menjadi semangat kepada saya untuk melakukan dengan lebih baik lagi” tambahnya.