foto – Malaysian Football League

 

Buat julung kalinya dalam sejarah Piala FA Malaysia, bakal menyaksikan penglibatan 38 pasukan kelab berstatus amatur yang akan melakukan sepak mula pertandingan itu pada 1 dan 17 Februari depan.

Jumlah itu adalah peningkatan yang cukup ketara berbanding musim lalu di mana hanya tujuh sahaja pasukan amatur mengambil bahagian.

Undian membabitkan 14 pasukan daripada Liga M3 dan 24 pasukan Liga M4 bagi perlawanan kelayakan telah diadakan di Petaling Jaya pada Sabtu.

Beberapa perlawanan yang dijangka menjadi tumpuan bagi pusingan awal ini adalah adalah pertembungan sesama sendiri antara pasukan M3 iaitu ATM menentang Kuching FA, Puchong Fuerza FC menentang Tun Razak FC serta perlawanan antara naib juara Selangor Champions League 2018, Shah Alam Antlers yang akan menentang Real Chukai FC.

Mengulas mengenai saingan musim ini, Presiden Shah Alam Antlers, Ahmad Suffian Mamat yang mengakui ia menjadi impian buat kelab amatur untuk bertemu pasukan hebat daripada Liga Malaysia.

“Saya yakin semua kelab amatur memasang impian untuk bertemu kelab hebat seperti Johor Darul Takzim, Terengganu atau Selangor kerana kami sentiasa mahu bertemu kelab hebat dari Liga Super dan Liga Premier.

“Apapun saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MFL yang mana kali ini kita dapat menyaksikan ramai penglibatan kelab amatur lebih ramai pada tahun ini. Saya percaya tindakan MFL ini akan memeriahkan lagi suasana bola sepak Malaysia,” katanya.

Presiden Puchong Fuerza FC, Azrul Izwan Abdul Rahim turut senada apabila menyatakan penglibatan 38 pasukan amatur buat pertama kali merancakkan lagi kemeriahan pertandingan.

Azrul turut memuji usaha Malaysian Football League yang terus memainkan peranan penting dalam memajukan lagi bola sepak tempatan.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada MFL dan saya percaya penglibatan kelab-kelab amatur ini memberikan satu semangat untuk mereka bergerak ke arah profesional.

“Saya yakin Piala FA kali ini akan memberikan satu kelainan yang mana sudah pasti kami mahu bertemu dengan kelab-kelab hebat dari Liga Malaysia,” katanya.

Sebagai rekod, 36 pasukan akan bermain perlawanan pusingan kelayakan untuk merebut tempat di pusingan pertama manakala dua pasukan iaitu Johor Bharu FA dan MD Besut FC mendapat ‘bye’. MUHD AIMAN 

- Advertisement -