PERSEKUTUAN Sukan Para ASEAN (APSF) mengesahkan 479 bagi 16 jenis sukan yang akan dipertandingkan pada temasya Sukan Para ASEAN ke-9 dari 17 hingga 23 September ini. Lembaga Pentadbir (BOG) APSF menetapkan jumlah acara itu pada mesyuarat di Kuala Lumpur pada Khamis (27 Julai) yang turut dihadiri Jawatankuasa Pengelola Malaysia (MASOC) KL 2017 dan presiden Jawatankuasa Paralimpik Kebangsaan (NPC) dari kesemua negara anggota APSF.
Ketua Pegawai Eksekutif (MASOC) Kuala Lumpur 2017, Dato’ Seri Zolkples Embong berkata, senarai muktamad acara akan diputuskan selepas mesyuarat pra-pendaftaran delegasi.
Olahraga Para akan mempertandingkan jumlah acara terbanyak dengan 200 acara dalam tempoh lima hari pertandingan, diikuti renang (128), ping pong (27), catur (24), powerlifting (19), tenpin bowling (18), berbasikal jalanraya (14), berbasikal trek (11), badminton (14), boccia (7), memanah (6), tenis berkerusi roda (4), bola keranjang kerusi roda (2), goalball (2), Bolasepak CP (1), Bolasepak 5-sebelah (1) dan bola tampar duduk (1).
“Ketika ini kita ada 479 acara daripada 16 jenis sukan… selepas mesyuarat pra pendaftaran delegasi (pre Delegation Registration), kita akan lihat jumlah penyertaan sebenar semua negara untuk menentukan setiap acara mempunyai bilangan penyertaan yang mencukupi atau tidak,”kata Dato’ Seri Zolkples.
Mengenai venue pertandingan, Dato’ Seri Zolkples berkata venue Sukan SEA akan digunakan bagi acara-acara Sukan Para ASEAN.
“Dari segi teknikal, semua berjalan lancar…delegasi teknikal dan pegawai teknikal antarabangsa dan tempatan serta classifier telah dikenalpasti bagi mengendalikan semua acara mengikut peraturan antarabangsa,”katanya lagi.
Turut hadir pada mesyuarat termasuk Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) John Ng dan Presiden APSF, Mej Jen Osoth Bhavilai.