Seramai 48 remaja dari seluruh negara akan bersaing di Litar Lumba Tangkak, Johor bagi merebut peluang untuk mendapatkan slot penyertaan ke siri perlumbaan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2019 pada 22 dan 23 Disember ini.

Remaja-remaja berusia antara 13 hingga 22 tahun ini telah dipilih melalui program pencarian bakat di sebanyak 22 lokasi seluruh negara kendalian Kejuaraan Cub Prix Malaysia bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan pelumba Grand Prix dunia pertama Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini bertindak sebagai mentor program dan dibantu oleh juara Asia SuperSports 600cc dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman.

“Dengan kerjasama bersama Kementerian Belia dan Sukan, program Klinik Cub Prix KBS ini telah menemui golongan remaja dari pelbagai lapisan masyarakat di 22 kawasan seluruh negara dan kami telah menguji sekitar 2200 peserta sebelum menyenaraikan 48 remaja terbaik termasuk yang diterbangkan dari Sabah dan Sarawak untuk ke sesi pemilihan akhir minggu ini,” jelas mentor program Klinik Cub Prix KBS, Shahrol Yuzy.

“Daripada 48 pelumba ini, enam daripadanya akan menerima slot automatic berserta biasiswa penuh untuk beraksi dalam saingan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix musim 2019 nanti.

“Ia merupakan program pencarian bakat dan pemilihan terbesar serta paling komprehensif yang pernah dikendalikan oleh Cub Prix.”

Tambahnya, “Sambutan yang kami terima sangat menggalakkan dan remaja yang kami temui begitu teruja dan berminat dengan peluang sebegini dan saya harapkan program bersama diantara Cub Prix dan KBS ini akan diteruskan pada masa akan datang.

“Sukan permotoran ini merupakan sukan yang sangat khusus dan adakalanya tidak dapat dirasai oleh sebahagian mereka di luar sana.

“Siri Klinik ini sangat efektif dan berkesan kerana kami membawakan sukan ini dekat kepada mereka dan orang ramai dan momentum yang dibina sepanjang tahun 2018 ini perlu diteruskan.”

 

- Advertisement -