PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah sudah tidak sabar untuk memulakan aksi musim 2014 terutama bagi menghadapi sesi ujian pra-musim rasmi  IRTA yang akan bermula di Valencia, Sepanyol, 11 dan 12 Februari ini.
Selepas mencapai pelbagai kejayaan memberangsangkan di dalam setiap perjalanan kariernya, pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS itu akan mula beraksi untuk semusim penuh di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Sebagai persediaan awal untuk menghadapi perlumbaan, pelumba berusia 20- tahun itu turut sibuk menjalani latihan fizikal dan mental sepanjang dua bulan lepas lagi.
Bukan hanya Hafizh, tidak ketinggalan juga pasukan PETRONAS Raceline Malaysia yang turut sibuk mendapatkan peralatan dan alat ganti terbaik bagi memastikan jentera Kalex 2014 akan cukup bersedia untuk digunakan pada penampilan debut pertama mereka.
“Kami baharu memperoleh jentera Moto2 Kalex 2014 pada minggu lepas dan masih banyak perkara yang perlu dilakukan sebelum kami menuju ke perlumbaan pertama di Qatar.
“Seluruh pasukan telah bekerja keras sepanjang masa bagi memastikan jentera dapat disiapkan sepenuhnya untuk menghadapi ujian pra-musim IRTA ini,” kata Hafizh.
“Banyak yang perlu dipelajari pada tahun ini memandangkan dikalangan pelumba Moto2, kebanyakannya sudah beraksi lebih dari tiga tahun di dalam kelas ini. Mereka lebih berpengalaman dan sudah biasa dengan keadaan litar, ini memang satu kelebihan besar buat mereka.
“Walau bagaimanapun, dengan sokongan padu daripada pasukan dan krew, saya yakin dan berazam untuk sentiasa bekerja keras bagi merapatkan jurang antara saya dan pelumba lain.
“Beraksi untuk musim penuh yang pertama bukanlah perkara mudah, namun saya akan berusaha untuk berada di kelompok 20 pelumba teratas. Saingan musim ini juga cukup panjang, ada 19 perlumbaan kesemuanya dan tidak mustahil saya mampu melakukan sesuatu kejutan nanti.”