Pemain Kelantan meraikan jaringan ketua pasukan Mohd Badri Radzi (tiga dari kiri) pada perlawanan malam semalam.
Pemain Kelantan meraikan jaringan ketua pasukan Mohd Badri Radzi (tiga dari kiri) pada perlawanan malam semalam.

JURULATIH Kelantan, Steve Darby bercadang mengekalkan formasi 4-4-2 selepas berjaya menang tipis 3-2 ke atas PKNS FC dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Harapan penyokong The Red Warriors (TRW) untuk melihat perubahan corak permainan akhirnya ditunaikan jurulatih berusia 58 dari England itu dan keputusan itu nyata berbaloi apabila persembahan lebih baik ditonjolkan barisan pemainnya.

Darby berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk menggantikan formasi 3-5-2 kepada 4-4-2 ketika berdepan pasukan kendalian Wan Jamak Wan Hassan, malah menyifatkan setiap perlawanan memerlukan percaturan berlainan untuk mengelirukan pihak lawan.

Katanya, kehadiran pemain pertahanan, Nazri Ahmad yang sudah pulih daripada kecederaan memberikannya pilihan untuk menukar corak permainan malah tindakan itu berkesan walaupun sekadar menang tipis.

“Kemungkinan saya akan mengekalkan formasi itu dalam perlawanan timbal balik 18 Feb ini, namun akan berbeza percaturan kerana bergantung kepada kekuatan pasukan lawan.

“Saya boleh menggunakan empat pemain di bahagian pertahanan kerana pemain yang cedera sudah pulih dan ia memberi saya banyak pilihan untuk membuat percaturan,” katanya selepas perlawanan semalam.

Darby yang berpuas hati dengan kemenangan TRW namun tidak menafikan laluan sukar menunggu juara bertahan itu dalam perlawanan kedua, malah yakin PKNS berkebolehan untuk bangkit di gelanggang sendiri.

Katanya, anak didiknya bakal mengalami tekanan kerana membiarkan PKNS membawa pulang dua jaringan tempat lawan dan keadaan itu perlu ditebus TRW ketika beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Selasa depan.

“Saya berpuas hati dengan kemenangan namun kita sedikit tertekan kerana pasukan lawan sudah mempunyai dua jaringan di tempat kami.

“Kita perlu mendapatkan lebih banyak jaringan di tempat mereka nanti.”

Untuk memberi maklum balas, sila emelkan kepada editor@sports247.my

- Advertisement -