Bagi atlit Wilayah Persekutuan, Mohd. Khirulniza Salleh, sikap sentiasa positif membawa tuah kepadanya kerana mencatat kejayaan lebih gemilang pada hari kedua acara Kanu SUKMA XVII yang berlangsung di Tasik Timah Tasoh di sini.
Selepas meraih emas acara perseorangan (K1) 1000m lelaki pada hari pertama, dia bukan sahaja cemerlang menguasai hari kedua acara K1 500m, malah berganding mantap dengan rakan-rakan mengungguli acara kuartet (K4) 500m, sekaligus memecah rekod kebangsaan dan SUKMA.
“Saya memang mahu mengekalkan penguasaan acara K4 500m pada 2011, jadi saya dan rakan-rakan sentiasa positif untuk menang,” katanya.
Menurutnya, dia sentiasa mengamalkan disiplin termasuk mematuhi arahan jurulatih ketika mengadakan latihan atau be standing.
Mohd. Khirulniza bersama gandingan Amirul Azfar Azwan, Muhammad Fadhlul Hadi Mohd. Razit dan Muhammad Uwais Zainal Abidin memecah rekod kebangsaan K4 500m lelaki dengan catatan 1:36.58s.
Kuatet tersebut mengatasi rekod kebangsaan 1:37.100s yang dicatat pada 1999 dan juga rekod SUKMA 1:37.830s milik kuartet Terengganu pada 2010.
“Kejayaan ini juga akan membakar semangat saya dan rakan dalam pasukan Wilayah Persekutuan untuk memberi tentangan sengit bagi acara 200m yang akan berlangsung esok,” katanya.