ARAU – Tirai memanah SUKMA XVII ditutup dengan Terengganu menambah sebutir lagi emas acara berpasukan recurve (pusingan olimpik) lelaki apabila mengatasi Sabah dalam saingan akhir di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh di sini hari ini.
Ini menyaksikan Terengganu menamatkan aksi memanah SUKMA XVII dengan keseluruhan mengumpul lapan emas, empat perak dan empat gangsa untuk mendahului lain-lain negeri.
Dalam penentuan emas berpasukan recurve (pusingan olimpik) lelaki, gandingan mantap Terengganu yang terdiri daripada Muhammad Saifuddin Mohd. Kamro, Syafiq Izuddin Sulaiman dan Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli mempamer aksi cemerlang untuk memanah sasaran 208 mata, sekaligus menjuarai acara tersebut.
Kehebatan Terengganu itu terpaksa diakui Sabah yang hanya berpuas hati memperoleh perak apabila Billdean Bonilung, Adam Wong dan Ahmad Afiq Akhir Oman hanya mencatat 188 mata.
Penentuan pingat gangsa pula menyaksikan gandingan pemanah Perak, Nur Arif Azli, Nazir Omar dan Mohamad Muzzamir Azlan Huri (203 mata) untuk menewaskan Muhammad Idris Shah Shaharudin (195 mata).
Sementara itu, penentuan emas acara berpasukan recurve (pusingan olimpik) wanita, dikuasai pemanah Sarawak Cheryl Rudang Goh Pei Loke, Kho Yee Ting dan Wan Farah Aina (194 mata).
Perak dimenangi barisan pemanah Kelantan, Azuanis Abdullah, Nuur Shafika Shamsuddin dan Nurul Amanina Rosmay (171 mata).
Gangsa pula diraih gandingan pemanah Johor, Nuraqilah Khairul, Umi Aisyah Mohd. Fadzil dan Caryn SimZia Ling (174 mata) yang mengatasi saingan farwizah Ahmad Nazir, Nur Shafika Shabani dan Nur Shahirah Ahmad (138 mata).