ltdl.2015.logo

APABILA tirai saingan edisi ke-20 Le Tour de Langkawi 2015 (LTdL) disingkap pada peringkat pertama di Pulau Langkawi esok, laluan landai dengan jarak hanya 101 kilometer itu akan menyajikan persaingan awal untuk merebut jersi biru Raja Pecut.

Dan tumpuan pastinya lebih menjurus kepada tiga pelumba yang pernah memenanginya iaitu Andrea Guardini (Astana) yang memenanginya dua kali pada 2011 dan 2012, Francesco Chicchi (Androni-Venezuela) yang menang pada 2013 dan pelumba tempatan, Anuar Manan (TSG) yang meraih penghormatan itu pada 2010.

Keputusan di Langkawi esok (Ahad) akan memberi gambaran awal siapa pesaing pilihan untuk merebut jersi biru itu, selain jersi kuning yang akan ditentukan di kalangan pelumba pendaki.

Namun, kehadiran jaguh pecut Guardini, Chicchi, Anuar dan beberapa calon muka baru seperti Caleb Ewan (Orica GreenEdge) selain bekas pakar pecut handalan dunia, Alessandro Petacchi lebih menarik perhatian kerana tujuh daripada lapan peringkat LTdL 2015 ini dianggap laluan landai.

Guardini yang memegang rekod 14 kemenangan peringkat di LTdL, mengakui saingan kalin ini amat menarik tetapi yakin mampu menambah beberapa lagi kemenangan peringkat, sekiranya rakan sepasukan tidak melakukan kesilapan seperti Peringkat 1 tahun lalu.

“Kami tidak boleh melakukan kesilapan seperti tahun lalu apabila lambat bertindak mengejar kumpulan pemecahan di depan,” katanya mengimbas kemenangan pelumba Colombia, Duber Quintero yang tiba secara solo di garisan penamat pada tahun lalu.

Namun Guardini yang mencipta nama di Langkawi apabila menang Peringkat 1 pada 2011, yakin dia lebih bersedia selepas pasukan Astana membuat kem latihan di Sepanyol dan dan dia sendiri menang satu peringkat di Tour of Oman.

“Prestasi saya agak baik ketika ini dan yakin akan dapat mencatat keputusan yang bagus kerana ada banyak peringkat yang mungkin berakhir dengan pecutan beramai-ramai.

“Yang penting, rakan sepasukan perlu mencari ruang yang baik untuk membawa saya ke bahagian depan dan tidak melakukan kesilapan yang sama seperti tahun lalu,” kata pelumba Itali yang memenangi gelaran Raja Pecut pada edisi 2011 dan 2012 itu.

Chicchi yang menyinar bersama Yellow-Fluo tetapi baru dilamar pasukan Androni kendalian Giani Savio, berada dalam keadaan baik walaupun lebih memberi tumpuan kepada perlumbaan trek di Kejohanan Dunia bulan lalu.

Anuar yang menyinar ketika bersama Geumsan Ginseng pada 2010, berkata TSG juga lebih bersedia pada tahun ini, lebih-lebih lagi jurulatih Sebastien Duclos membimbing semula sejak beberapa bulan lalu dan turut mengambil bahagian di Jelajah Filipina.

“Saya juga sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan belakang dan prestasi ketika ini amat baik. TSG juga mempunyai beberapa pakar pecut lain seperti Hariff dan Zamri Salleh. Kami sudah bersedia,” kata Anuar.

Namun, kehadiran muka baru pasukan Orica GreenEdge, Caleb Ewan menghangatkan lagi persaingan pakar pecut kerana pelumba berdarah kacukan Australia-Kore ini menyinar dengan dua kemenangan peringkat di Australia, Januari lalu.

Pada usia masih 20 tahun, Ewan, pemenang pingat perak Bawah 23 Kejohanan Dunia di Ponferrada, Sepanyol pada tahun lalu, yang dianggap pakar pecut berbakat besar yang mampu menggantikan legenda negara it, Stuart O’Grady dan Robbie McEwen.

“Saya membuat permulaan yang baik musim ini dengan dua kemenangan peringkat dan membawa kecergasan itu ke sini. Cuaca panas memberi sedikit kelebihan kepada saya dan yakin pasukan akan bekerjasama untuk menarik saya ke depan dan bersaing dalam henjutan terakhir nanti,” katanya yang mengakui mendapat khidmat rakan sepasukan Damien Howson, Sam Bewley, Adam Blythe dan Leigh Howard untuk membantunya nanti.

Kelibat jaguh pecut dunia, Alessandro Petacchi juga menjadikan saingan lebih berwarna-warni apabila pelumba veteran yang mencipta nama di LTdL 1998 itu kembali bersama pasukan baru, Southeast Pro Cycling.

“Ya, ada banyak kenangan manis di LTdL ini, menang satu peringkat, menang gelaran Raja Bukit setahun kemudian, selain menyarung jersi kuning selama beberapa hari. Sudah 17 tahun berlalu dan berharap dapat membantu pelumba muda menang peringkat di sini tetapi jika mendapat peluang, saya sendiri akan cuba menang peringkat di sini,” kata pelumba yang mencipta nama ketika menang buat kali pertama dalam karier profesionalnya bersama Scrigno-Gaerne pada Peringkat 6 di Mersing dalam LTdL 1998.

- Advertisement -