KAMZ5278

PELUMBA Astana kelahiran Itali, Andrea Guardini membuktikan dia sukar digugat pada edisi ke-20 Le Tour de Langkawi 2015 (LTdL) apabila mudah memenangi Peringkat 1 di Pantai Cenang, Langkawi, sekaligus melebarkan rekod kemenangan kepada 15 dalam jelajah berkenaan.

Guardini mengetuai kelompok besar pelumba, menamatkan kayuhan deras dengan selesa di depan dua pencabar terdekat, Caleb Ewan (Orica GreenEdge) dan Anuar Manan (TSG) dengan catatan 2 jam 19 minit 06 saat dalam kayuhan sejauh 99.2km itu.

Walaupun jelajah sedikit terkejut dengan pembatalan peringkat penentuan ke puncak Genting Highlands yang dijadualkan pada Peringkat 7, pelumba mengetepikan sebaik berbaris di depan Underwater World di Pantai Cenang, dengan sekumpulan enam pelumba membuat pemecahan awal untuk mengutip kelebihan di zon pecutan dan pendakian.

Malah usaha pelumba UnitedHealthCare, Kiel Reijnen yang cuba membuat pemecahan solo daripada kumpulan pemecah di depan, tidak berjaya apabila pasukan pakar pecut mula bekerjasama mengejar dan menangkap pelumba 29 tahun dari Amerika Syarikat itu.

Sekaligun berlaku kemalangan kecil pada 1km terakhir, Guardini yang berada di belakang pelumba Orica, bertindak bijak dengan memulakan henjutan dan selesa menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat, memenangi peringkat, mendapat jersi kuning pendahulu dan jersi biru Raja Pecut.

Reijnen yang menguasai tiga zon pendakian sebelum itu, dinobatkan pendahulu jersi merah Raja Bukit manakala pelumba China yang turut berada dalam kelompok pemisah di depan, Ma Guangtong muncul pelumba terbaik Asia untuk memenangi jersi putih.

Namun ramalan peringkat landai itu bakal dikuasai pakar pecut, tidak seperti kejutan oleh Duber Quintero pada tahun lalu, tepat apabila pasukan Astana, Orica dan Aisan Racing Team bekerja keras di depan untuk mencari ruang meletakkan pakar pecut masing-masing di depan.

“Saya gembira menang peringkat pertama ini dan kami tidak melakukan kesilapan walaupun ada kumpulan kecil pelumba membuat pemecahan awal dan berada agak jauh. Bersama-sama Orica, kami mengejar dan menangkap mereka. Malah saya mengekori pelumba Orica pada baki 200 meter sebelum memecut. Saya gembira kerana semuanya berjalan seperti dirancang dan pasukan tidak melakukan kesilapan.

“Seperti saya katakan sebelum ini, saya berada dalam tahap kecergasan yang baik selepas berlumba di Qatar dan Oman. Pengurusan pasukan juga yakin saya boleh menang dan saya gembira dapat memenuhinya,” kata Guardini.

Namun Guardini mengakui dia berdepan cabaran kerana beberapa pakar pecut pasukan lain turut memberi saingan hebat ketika menuju ke garisan penamat itu, termasuk Caleb dan Anuar.

KAMZ5259

Sebaik perlumbaan dilepaskan pada jam 9 pagi di depan Underwater World di Pantai Cenang, enam pelumba iaitu Reijnen, Muhamad Adiq Hussainie Othman (TSG), Merhan Hasnaoui (SkyDive Dubai), Guangtong, Liam Bertazzo (Southeast) dan Simone Andreetta (Bardiani CSF) menjarakkan diri dan berada kira-kira 6 minit di depan peloton.

Hasnaoui membuat langkah awal apabila cuba keluar dari kelompok depan itu tetapi Reijnen dapat mengejar, sebelum meninggalkan Hasnaoui pada baki 7km sebelum ditangkap kelompok besar, di bawah cuaca agak panas mencecah 34 darjah Celsius.

Reijnen berkata dia mengejar Hasnaoui yang cuba membuat kayuhan solo selepas menyedari kumpulan depan itu agak lemah, sebelum cuba meloloskan diri berseorangan, tetapi gagal.

Peringkat 2 dari Alor Setar ke Sungai Petani sejauh 170 kilometer yang dianggap landai esok dijangka lebih mencabar berdasarkan keadaan cuaca yang agak panas pada sebelah pagi dan tengah hari tetapi sekali lagi, ia diramal menjadi milik pakar pecut.

 

GAMBAR dari www.asiana.my

KAMZ5671

KAMZ5564

- Advertisement -