KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Sukan Negara pada 10 Oktober ini yang bertujuan menjadikan sukan sebagai budaya hidup dijangka menarik penyertaan tiga juta rakyat di seluruh negara.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pada hari berkenaan, pelbagai aktiviti sukan dan riadah akan diadakan untuk setiap lapisan masyarakat.
“Seperti yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ini agenda penting bagi kita untuk membina asas ke arah negara bersukan untuk kita menjadikan sukan sebagai budaya hidup kita.
Dapat kita tingkatkan perpaduan, tahap kesihatan dan juga dapat kenal pasti bakat-bakat baru untuk menjadi atlet kebangsaan pada masa depan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Logo dan Kira Detik Hari Sukan Negara di sini hari ini.
Khairy berkata, semua kementerian juga telah bersetuju untuk sama-sama menjayakan Hari Sukan Negara dengan menganjurkan program di peringkat kementerian.
Selain itu, katanya seluruh daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung turut bersetuju mengaturkan program riadah dan aktiviti sukan pada hari berkenaan.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan bahawa sambutan Hari Sukan Negara akan disambut pada Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun manakala sambutan tahun ini jatuh pada 10 Oktober.
Khairy berkata, bagi mencapai matlamat membudayakan sukan, pelbagai aktiviti sukan seperti Fit Malaysia, program-program ad hoc di bintik panas yang telah dikenal pasti serta karnival jualan peralatan sukan menjelang sambutan Hari Sukan Negara tahun ini.
“Di bintik panas itu akan ada program ad hoc seperti hari ini kita lancarkan di Pavillion untuk nyatakan walau di mana berada, rakyat Malaysia boleh bersukan.
Untuk karnival jualan peralatan sukan, saya sedang berbincang dengan pihak berkaitan untuk menganjurkan karnival itu sebulan sebelum sambutan Hari Sukan Negara. Ini bagi membolehkan mereka yang berminat membuat persediaan membeli barangan peralatan sukan,” katanya. – Bernama