Persaingan di kalangan lima pasukan teratas Purple League terus hangat apabila Petaling Jaya BC, Cheras BC dan Puchong United BC kesemuanya meneruskan lakaran kemenangan dalam aksi minggu ini di Sports Arena@Sentosa.
Kekalahan pemain perseorangan lelaki, Andre Marteen pada perlawanan terakhir tidak menghalang Petaling Jaya daripada mencatat kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan Klang United dalam aksi dominan yang berkesudahan dengan keputusan 15-4.
Marteen tewas kepada Evert Sukamta 1-3 namun Petaling Jaya sudahpun mengesahkan kemenangan lebih awal menerusi Hafiz Hashim, Cheung Ngan Yi, Alan Chan/Vita Marissa dan Koo Kien Keat/Songphong Anugritayawon.
Walaupun mencatat kemenangan besar, pengurus pasukan R.Manojkumar berpendapat bahawa Petaling Jaya seharusnya boleh beraksi dengan lebih baik.
“Saya sentiasa ingatkan pemain agar jangan terlalu yakin, setiap lawan kita adalah kuat dan setiap mata adalah penting. Beregu campuran umpamanya, mereka memberikan lawan satu set yang tidak sepatutnya. Marteen pula, saya tahu dia boleh berikan yang lebih baik dan saya harap dia akan segera bangkit.
“Apapun saya perlu puji Kien Keat dan Songphong, mereka seperti biasa tenang dan cara mereka membaca permainan lawan cukup bagus,” ujar Manojkumar.
Petaling Jaya bermula dengan agresif menerusi Hafiz Hashim yang meneruskan aksi energetiknya selepas beberapa prestasi suram pada permulaan Purple League dengan menewaskan Leong Jun Hao 3-0 (11-4, 11-6, 11-5) dan Ngan Yi melebarkan kelebihan hasil kemenangan 3-0 ke atas Yap Rui Chen.
Alan dan Vita menerima sedikit tentangan sebelum mencatat kemenangan 3-1 ke atas Chin Wai Kin/Yap Yee dan Kien Keat/Anugritayawon tidak bermasalah untuk menewaskan Chooi Kah Ming/Teo Ee Yi juga dengan keputusan 3-0.
Jurulatih Klang United, Yap Kim Hock berkata, “Sejak sebelum perlawanan bermula kita tahu kita lawan pasukan yang kuat. Jadi saya cuma harap pemain buat yang terbaik dan mereka lakukannya. Walaupun kalah kita menang game terakhir, keseluruhannya saya berpuas hati.’
Kemenangan menyaksikan Petaling Jaya melonjak berada di kedudukan ketiga, ketinggalan di belakang pendahulu Muar City BC dan Cheras BC yang melonjak ke tangga kedua hasil kemenangan dalam perlawanan yang berlangsung di sebelah pagi.
Terdahulu, Cheras BC turut meneruskan perwatakan garang untuk merakamkan kemenangan kelima dari enam perlawanan selepas menewaskan Serdang BC 15-4.
Segalanya tampak mudah buat anak didik Rashid Sidek yang menang kesemua lima aksi mereka hari ini, bermula dengan perseorangan lelaki Andy Saputro Nughoro, perseorangan wanita Sarita Suwanakit, beregu campuran Joyce Wai/Razif Latif, beregu lelaki Afiat Yuris Wirawan/Azryn Ayub dan disudahkan dengan bergaya oleh Arif Latif.