Saingan Resorts World Genting Purple League 2015 akan kembali bersambung pada minggu ini, dengan tumpuan terarah kepada pendahulu liga, Muar City BC yang turun dengan misi untuk melebarkan penguasaan di kedudukan teratas liga.
Selepas berakhir enam perlawanan pertama, belum ada pasukan yang berupaya menyekat amukan juara bertahan itu yang menang kesemua aksi dan merajai persada liga dengan kelebihan mutlak 40 set permainan ke atas pesaing terdekat Cheras BC.
Dan kini tiba giliran Nusajaya BC pula menduga kekuatan mereka apabila kedua-dua pasukan berpangkalan di Johor itu bertemu pada esok (Selasa) di Arena Sports@Sentosa.
Tidak seperti Muar City yang mengharungi rentetan aksi cukup sensasi setakat ini, Nusajaya pula melalui saat sukar apabila tewas empat perlawanan terakhir walaupun mereka bermula dengan dua kemenangan meyakinkan pada minggu pembuka tirai saingan.
Justeru, ianya perlu diakui betapa Nusajaya berdepan cabaran cukup getir untuk kembali ke landasan kemenangan tatkala Muar City sedang berada pada prestasi terbaik dan tidak menampakkan sebarang petanda mahu memperlahankan momentum mereka.
Menariknya, aksi dominan Muar City menyaksikan mereka menang 89 daripada 90 set permainan membabitkan keseluruhan enam perlawanan. Mereka hanya tercicir satu set ketika pemain perseorangan wanita, Kim Mun Hee tewas 2-3 pada perlawanan menentang Petaling Jaya BC – dan ia adalah satu-satunya kekalahan membabitkan pemain pasukan Muar City.
Tan Chung Seang paling cemerlang apabila menang kesemua enam perlawanan dan bakal sekali lagi memimpin cabaran Muar City tatkala Nusajaya pula perlu mengharapkan kem mereka kembali disuntik motivasi sama yang membantu mereka mencatat kemenangan sensasi ke atas Petaling Jaya dan Kajang jika tidak mahu igauan musim lalu yang mana mereka berakhir di kedudukan tiga tercorot kembali berulang.
Selain Muar City, tumpuan juga sudah tentunya terhadap Cheras, Petaling Jaya, Petaling dan Puchong United BC yang mana kesemua mereka merekodkan kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir untuk menghidupkan persaingan di kelompok lima pasukan teratas.
Cheras yang menduduki tangga kedua akan turun menentang Kepong dalam satu lagi perlawanan yang akan berlangsung esok (Selasa), sementara Puchong United pula menentang Serdang bimbingan Ong Ewe Hock pada Rabu. Petaling Jaya dan Petaling akan bertembung sesama sendiri pada Khamis.
Selepas aksi pada minggu ini, kesemua pasukan akan beraksi satu lagi perlawanan pada minggu hadapan sebagai aksi penutup bagi tahun 2015 yang akan memberi gambaran jelas mengenai pasukan yang berpotensi merampas kejuaraan dari Muar City sebelum baki tiga perlawanan pada Januari menjadi penentu sama ada penuh dramatik, ataupun anti-klimaks.