20160102-Muar City BC(blue)-Lee Hyun Il-009

20160102-Muar City BC(blue)-Lee Hyo Jung & Lee Yong Dae-002

Hanya keajaiban mampu memnghalang Muar City BC dari muncul juara Resorts World Genting Purple League 2015 pada ketika mereka kini hanya selangkah sahaja untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu menerusi kemenangan 15-4 ke atas Petaling BC.

Kemenangan kesembilan berturut-turut buat Muar City menyaksikan mereka langsung tidak tercabar di puncak liga – kedudukan yang diungguli mereka sejak minggu pembukaan dan kini memiliki kelebihan besar 66 perlawanan ke atas Cheras BC, kelebihan yang tampak mustahil untuk diterbalikkan.

Dengan Cheras akan menentang pasukan tangga ketiga, Petaling Jaya BC pada esok (Ahad), Muar City akan bergelar juara lebih awal seandainya salah satu pasukan dari pasukan itu gagal untuk merekodkan kemenangan dengan defisit besar.

“Seperti saya katakan, pemain kami berada di prestasi cukup luar biasa. Mereka begitu ghairah untuk ulangi kejayaan tahun lalu. Namun, kita mahu habiskan liga dengan rekod sempurna, walaupun secara teori kita sudah muncul juara, secara matematik kedudukan kami masih boleh dipintas sekiranya kami leka,” ujar pengurus pasukan, Huan Woon Han.

Muar City yang beraksi sedikit goyah ketika menentang Ampang Jaya pada perlawanan terdahulu, kali ini tidak memberi ruang buat Petaling mengintai kejutan. 

Pemain perseorangan lelaki, Tan Chung Seang yang kembali beraksi selepas empat perlawanan menggantikan Fikri Ihsandi, menghadiahkan permulaan sempurna dengan menewaskan Tan Vi Hen 3-0 (11-5, 11-9, 11-7).

Perseorangan wanita, Kim Mun Hee hampir sahaja dihadiahkan satu lagi kekalahan namun pemain itu dua kali bangkit dari ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-2 (6-11, 11-6, 6-11, 11-6, 11-6) ke atas pemain Jepun, Yui Hashimoto.

Kelibat bintang Korea, Lee Yong Dae yang bergandingan dengan Lee Hyo Jung dalam acara beregu campuran nyata cukup mencuri tumpuan dan pemain itu membalas reaksi positif serta sambutan hangat penonton dengan aksi bertenaga dan memukau untuk menewaskan Ardianshah/Devitika Permatasari 3-0 (11-6, 11-7, 11-10).

Tan Boon Heong/Tan Wee Kiong kemudiannya melebarkan kelebihan buat Muar City kepada 12-3 sebelum bekas pemain nombor satu dunia dari Korea, Lee Hyun Il memuktamadkan kemenangan buat Muar City menerusi kemenangan ke atas pemain kebangsaan, Iskandar Zulkarnain.

Kemenangan menyaksikan Muar City satu-satunya pasukan yang mengekalkan rekod bersih menang kesemua sembilan perlawanan dan perlawanan seterusnya buat mereka adalah menentang pencabar terdekat, Cheras pada Selasa.

Dalam pada itu, Ampang Jaya BC menghidupkan peluang mereka untuk layak beraksi di Resorts World Genting Champions Challenge yang akan berlangsung dari 12-17 Januari depan setelah menewaskan Kajang BC 11-8.

Hanya lapan pasukan teratas liga akan layak ke saingan Champions Challenge  dan kemenangan menyaksikan Ampang Jaya mengukuhkan cengkaman di tangga kelapan sambil disaingi rapat oleh Nusajaya BC dan Klang United BC yang akan bertembung sesama sendiri pada esok (Ahad).

20160102-Muar City BC-Kim Mun Hee(blue)-001

- Advertisement -