Pemain kebangsaan, Chong Wei Feng memastikan Kepong BC terus kekal dalam persaingan memburu kedudukan lapan teratas Resorts World Genting Purple League 2015 setelah menewaskan Thomi Azizan Mahbub dalam aksi sengit mendebarkan di Sports Arena@Sentosa.
Kemenangan buat pemenang pingat emas Sukan Sea 2015 itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah, apabila dia hampir sahaja dikejutkan oleh Thomi – pemain di ranking 171 dunia yang tampil dengan aksi cukup bertenaga dan meyakinkan untuk membantu Bangsar Hawks mengikat kedudukan 8-8 pada satu ketika.
Wei Feng bangkit dari kekalahan set pertama, untuk menang 3-2 (7-11, 11-7, 10-11, 11-4, 11-4) dan memberikan kemenangan tipis 11-9 buat Kepong – menyaksikan mereka kekal menghuni tangga keenam dan semakin hampir untuk mengesahkan tempat di kelompok lapan teratas.  Â
“Saya tidak berada pada prestasi terbaik. Pada set pertama dan ketiga terutamanya saya banyak lakukan kesilapan, ia lebih kepada aspek mental. Thomi bermain baik dan hanya pada set keempat saya mula mendapat rentak permainan sebenar saya,” ujar Wei Feng yang sedang berusaha keras untuk memastikan namanya tersenarai dalam skuad Piala Thomas 2016.
Ia adalah kekalahan kesembilan berturut-turut buat Bangsar Hawks bimbingan Razif Sidek, namun mereka hampir menterjemahkan satu daripada kebangkitan paling menarik dalam saingan Purple League apabila bangkit daripada ketinggalan 1-6 untuk mengikat kedudukan 8-8.
Setelah tewas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, Bangsar Hawks meraih kemenangan menerusi Irfan Fadhilah/Weni Anggraini dalam acara beregu campuran, sebelum Aggripina Primarahmanto/Amzar Zainudin merapatkan kedudukan menjadi 7-8.
Pertembungan antara Wei Feng dan Thomi menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengejar mata – 8-8 dan kemudiannya 9-9 – sebelum Wei Feng menafikan hasrat Bangsar Hawks untuk melakar kejutan, sekaligus menyaksikan mereka terus kekal menghuni tangga kedua tercorot. Â
Sementara itu, Puchong United terus kekal dalam pemburuan kedudukan naib juara setelah garang membelasah pasukan tangga tercorot Kajang 15-3 dalam aksi yang berlangsung pada Rabu.
Kemenangan membolehkan Puchong United melonjak ke tangga ketiga mengatasi Cheras yang terus tergelincir setelah tewas dua perlawanan berturut-turut, dan kini ketinggalan hanya dua perlawanan di belakang pasukan tangga kedua Petaling Jaya menjelang aksi terakhir Purple League yang akan berlangsung di Arena of Stars, Genting.Â
Puchong bagaimanapun berdepan misi hampir mustahil untuk memintas Petaling Jaya kerana selain mengharapkan Petaling Jaya tewas kepada Kepong pada aksi terakhir liga, mereka sendiri perlu berada pada prestasi luar biasa untuk menewaskan pendahulu liga yang sudahpun dinobatkan selaku juara, Muar City yang menang kesemua sepuluh perlawanan.
Pusingan akhir Purple League akan berlangsung dari 8 – 10 Januari sebelum lapan pasukan teratas liga kemudiannya berentap dalam cabaran Resorts World Genting Champions Challenge yang akan berlangsung dari 12 – 17 Januari juga di Arena of Stars, Genting.Â