Tan Chung Seang muncul wira apabila tampil dengan aksi mantap bertenaga untuk menundukkan wira Puchong United pada aksi separuh akhir.
Kelab Badminton Muar City merangkul kejuaraan berganda dengan penuh bergaya setelah menterjemahkan kebangkitan menakjubkan untuk menjuarai Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015 sekaligus meranapkan impian Kelab Badminton Puchong United melakar kejutan sensasi pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena of Stars, di sini.
Muar City berada di ambang kekalahan apabila ketinggalan 7-8 menuju ke perlawanan terakhir namun bekas pemain kebangsaaan, Tan Chung Seang muncul wira apabila tampil dengan aksi mantap bertenaga untuk menundukkan wira Puchong United pada aksi separuh akhir, Syed Akhbar Shah Syed Mustakim 3-0 (11-8, 11-6, 11-2) dan mengesahkan kemenangan mutlak 10-8 buat juara Purple League itu.
Kemenangan menyaksikan Muar City merangkul trofi kejuaraan dan meraih hadiah wang tunai RM148,000 manakala Puchong United terpaksa berpuas hati dengan hadiah wang tunai RM108,000 selaku naib juara.
“Ia perlawanan yang cukup mendebarkan. Memang ketika ketinggalan 1-6 kita agak risau, beregu campuran menang tetapi mereka melepaskan dua mata, kita tahu jika Puchong dapat dua lagi mata dalam beregu lelaki mereka akan menang. Tapi kita langsung tidak hilang kepercayaan terhadap pemain,” kata pengurus Muar City, Huan Woon Han.
Woon Han menambah, “Pemain kita membuktikan karakter mereka di atas gelanggang, apabila beregu lelaki menjadikan kedudukan 7-8, saya tahu kemenangan akan menjadi milik kami kerana moral semua pemain sudah memuncak dan kami yakin dengan kredibiliti Chung Seang. Ini satu kejayaan yang cukup manis.” Â
Kemenangan ini juga menebus hampa Muar City yang kecundang kepada Kelab Badminton Kepong dalam aksi final musim lalu, dan membolehkan Muar City membalas dendam akan kekalahan kepada Puchong United pada perlawanan terakhir Purple League 2015 – untuk rekod, Puchong United satu-satunya pasukan yang menewaskan Muar City musim ini.
Puchong United boleh dimaafkan sekiranya mereka berpendapat mereka ada kelebihan untuk muncul juara setelah merebut pendahuluan 6-1 setelah Darren Liew mengejutkan pemain nombor 12 dunia dari Korea, Lee Hyun Il 3-1 diikuti kemenangan 3-0 yang dicatat Ayumi Mine ke atas Rusydina Antardayu. Â
Kebangkitan Muar City bermula menerusi pasangan beregu campuran, Han Sang Hun/Lee Hyo Jung yang berdepan tentangan sengit Cheng Weng Hsing/Yew Hong Kheng sebelum menang 3-2.
Pada ketika Puchong United memerlukan hanya dua mata untuk memastikan kemenangan berganda ke atas Muar City, mereka akhirnya menggigit jari apabila Muar City cukup ampuh dalam acara beregu lelaki – Chow Pakk Chu/Tan Bin Shen merakam kemenangan 3-0 untuk memastikan pemenang ditentukan pada aksi terakhir. Â
Ironinya, Puchong United tewas dengan cara sama sepertimana mereka menyingkirkan Kepong di separuh akhir dan ianya nyata satu kekecewaan besar buat mereka.
“Perlawanan yang sengit, akhirnya pasukan yang bermain lebih baik menang. Memang sangat kecewa untuk kalah kerana kami sudah bermula dengan cukup meyakinkan.
“Apapun, saya tahu semua pemain saya sudah memberi aksi terbaik. Mereka tidak berputus asa, mereka tidak gentar dan menunjukkan semangat yang tinggi. Ia satu pencapaian yang cukup bagus, kami sasarkan separuh akhir, dan muncul naib juara, tahniah kepada semua pemain,” kata pengurus Puchong Irina Inomzemtseva.
 Keputusan Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015
Muar City BC mengalahkan Puchong United BC
Perseorangan Lelaki
Lee Hyun Il tewas kepada Liew Daren 4-11, 6-11, 7-11, 6-11
Perseorangan Wanita
Rusydina Antardayu tewas kepada Ayumi Mine 7-11, 11-5, 11-6
Beregu Campuran
Han Sang-hun-Lee Hyo-jung mengalahkan Cheng Wen Hsin-Yew Hong Kheng
Beregu Lelaki
Chow Pak Chuu-Tan Bin Shen mengalahkan Ow Yao Han-Victor Ong Jing Khair 11-8, 11-2, 11-7
Perseorangan Lelaki
Tan Chun Seang mengalahkan Syed Akhbar Shah Mustakim 11-8, 11-6, 11-2