Oleh Muhammad Aiman
Skuad hoki kebangsaan sekali lagi gagal menandingi kehebatan Australia apabila tewas 1-5 kepada pasukan nombor satu dunia itu dalam aksi ketiga Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 yang berlangsung pada Sabtu.
The Kookaburas yang membaham juara Asia, India dengan keputusan sama pada perlawanan pertama mereka langsung tidak menunjukkan belas terhadap Malaysia yang dilihat bukan tandingan mereka dari segenap sudut.
Selepas dibolosi enam gol dalam dua perlawanan terdahulu, Stephen Van Huizen membuat sedikit rombakan dengan merehatkan penjaga gol Hafizudin Othman dan menurunkan Hairi Abdul Rahman di gawang.
Tindakan itu membuahkan hasil pada babak awal permainan apabila Hairi beberapa kali bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan berbahaya Australia yang melancarkan serangan sejak dari wisel mula.
Namun, mimpi ngeri buat Hairi bermula dua minit selepas ketua pasukan Razie Rahim menjaringkan gol pendahuluan buat The Speedy Tigers menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-24.
Gol itu nyata hadir sebagai kejutan di kem Australia dan juara lapan kali PSAS ini menggandakan asakan untuk pantas menyamakan kedudukan menerusi jaringan Jacob Whetton pada minit ke-26.
Berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada separuh masa pertama, Malaysia bagaimanapun semakin hilang punca dan gagal menangani tekanan berterusan seterusnya melepaskan dua gol dalam tempoh seminit pada minit ke 40 dan 41, masing-masing kepada Flynn Ogilvie dan Matt Ghodes.
Ogilvie kemudiannya menambah derita tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-44 sebelum Hairi akhirnya dikeluarkan untuk digantikan Hafizudin pada suku keempat.
Malaysia beroleh dua pukulan sudut penalti pada suku keempat namun gagal memanfaatkannya sebaliknya Thomas Craig melengkapkan kemenangan bergaya Australia menerusi jaringan pada minit ke-55.
Dengan kemenangan ini Australia melonjak selaku pendahulu baru kedudukan kumpulan dengan enam mata, diikuti New Zealand dengan lima mata, Kanada di tangga ketiga dengan empat mata manakala kekalahan menyaksikan Malaysia tergelincir ke tangga keempat.
New Zealand yang seri dalam dua perlawanan terdahulu, mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Pakistan 5-3.
Begitu juga Kanada yang turut mencatat kemenangan sulung dengan menundukkan Jepun 3-1, kemenangan yang membantu mereka memintas kedudukan Malaysia menerusi perbezaan jaringan.