100Plus - Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran MalaysiaHasrat SMK Seksyen 11 Shah Alam mencatat kemenangan sulung dalam saingan Liga Super Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah-14 tahun tidak kesampaian apabila diikat seri 1-1 oleh seteru dari Kelantan, SMK Putera.

Beraksi di gelanggang sendiri, SMK Seksyen 11 hanya mengambil masa tiga minit selepas sepak mula untuk mendahului perlawanan menerusi jaringan Azrin Afiq Rusmini yang menolak masuk hantaran lintang cantik dari Adam Afiz Zairul Azizi.

Tersentak dengan gol awal tuan rumah, SMK Putera mencipta beberapa serangan berbahaya namun dihampakan ketumpulan penyudah selain ketangkasan penjaga gol SMK Seksyen 11 yang menyelamatkan dua percubaan sepakan percuma oleh Shuqran Azlan dan Fahrurozi Suhirman.

Beraksi di bawah cuaca panas jelas merencatkan rentak permainan kedua-dua pasukan yang gagal mempertonton lebih banyak aksi-aksi menarik sekaligus menyaksikan tiada tambahan jaringan terhasil di babak pertama. 

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan tampil lebih energetik dan saling berbalas serangan namun ianya SMK Putera yang berjaya mendapatkan jaringan menerusi percubaan cantik Afiq Haikal Aiderus yang mengikat kedudukan 1-1.

Keputusan seri nyata mengecewakan jurulatih SMK Seksyen 11, Mat Dinos Talib yang berpendapat pasukannya wajar pulang sebagai pemenang selepas menguasai permainan dan tampil dengan prestasi yang jauh lebih baik berbanding ketika tewas 0-3 kepada SMK Tunku Mahkota Ismail pada perlawanan pertama 8 Mac lalu.

“Ia keputusan yang tidak adil kerana kita lebih menguasai perlawanan dan mencipta peluang, cuma tindakan terakhir itu kita tidak menjaringkan gol. Apapun, saya tetap berpuas hati melihat peningkatan yang mereka tunjukkan, mereka bangkit dengan karakter yang berbeza pada perlawanan ini.

“Pemain-pemain ini berani bermain hantaran-hantaran pendek dan jarang melakukan hantaran jauh, secara teknikal dan taktikal juga mereka bermain dengan lebih baik,” ujar Mat Dinos.

Sementara itu, jurulatih SMK Putera Hanafiah Awang menyifatkan ketiadaan pemain tengah menyerang yang juga ayam tambatan, Amirul Alif yang mengalami kecederaan ketika pasukannya seri tanpa jaringan menentang SMK Tabuan Jaya pada bulan lalu antara punca jentera serangan pasukannya gagal berfungsi dengan baik.

“Kita tunjukkan peningkatan positif dari perlawanan ke perlawanan, banyak menyerang tapi penyudah kita cukup tumpul. Apabila kita mencipta peluang tapi gagal manfaatkan maka kita kena terima kesudahannya. Saya tidak kata saya gembira dengan keputusan ini tapi kita bermain di tempat lawan jadi sudah tentunya seri lebih baik dari kalah,” ujar Hanafiah.

Keputusan seri membantu SMK Putera memperbaiki kedudukan dengan melonjak ke tangga keenam manakala SMK Seksyen 11 kekal di kedudukan kesembilan dengan satu mata.

Sementara itu, SMK Bukit Nenas melonjak ke kedudukan teratas kedudukan Liga Super setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Seberang Temerloh, hasil jaringan tunggal Mohd Ariff Radzi.

SMK Za’ba pula mencatat kemenangan sulung dengan menewaskan SSM Bukit Jalil 2-0 dan melonjak ke tangga ketiga. Gol pasukan SMK Za’ba dijaringkan Amirul Daniel Zambry pada minit ke-13 dan Haizal Heizam Aznan seminit sebelum tamat perlawanan.

Dalam aksi Liga Perdana Piala Menteri Pendidikan B-14 pula, jaringan hatrik Syafiq Aiman Md Azham serta satu gol sumbangan Adha Nazman membantu SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah) membelasah SMK Mutiara Impian dari Pulau Pinang 4-0 dan melonjak ke kedudukan teratas.

Pendahulu sebelum ini, SMK Seri Kota pula sekadar berpuas hati mengutip satu mata apabila terikat 1-1 menentang MSS Putrajaya.

Di Johor, tuan rumah SMK Tun Hussein Onn bangkit dari ketinggalan untuk menang 2-1 ke atas SSM Pahang dan melonjak ke tangga ketiga kedudukan Liga Perdana.

Aksi seterusnya akan berlangsung pada 16 April depan.

Liga Piala Kementerian Pelajaran Malaysia dan Piala Super 100 Plus adalah beberapa program  dan pertandingan peringkat remaja yang disokong 100 PLUS, pembekal minuman isotonic di Malaysia.

Selain bolasepak kejohanan lain seperti, kejohanan Golf Remaja Terbuka Malaysia 100PLUS, dan kejohanan Badminton Remaja Sirkit KEbangsaan 100PLUS.

100PLUS diiktiraf oleh Majlis Sukan Negara, MSN.

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B-14)

SMK Seksyen 11 (Selangor) 1

SMK Putera (Kelantan) 1

 

SMK Za’ba (Negeri Sembilan)         2

SSM Bukit Jalil 0

 

SMK Seberang Temerloh (Pahang) 0

SMK Bukit Nenas (Terengganu) 1

 

LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B-14)

SMK Seri Kota (Melaka) 1

MSS Putrajaya 1
SMK Tun Hussein Onn (Johor) 2

SSM Pahang 1

 

SMK Mutiara Impian (P.Pinang) 0

SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah) 4        

- Advertisement -