100PLUS.latestOleh Muhammad Aiman

Melaka United kekal selaku pendahulu 100PLUS Liga Premier setelah menundukkan pencabar terdekat, Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Hang Jebat, pada Jumaat.

Pertembungan dua pasukan teratas liga itu bagaimanapun menyaksikan Kuala Lumpur terlebih dahulu membayangkan hasrat untuk kembali merampas takhta liga apabila mendahului selepas 45 saat sepak mula menerusi pemain import, Casagrande.

Enggan kecewa tewas kepada skuad helang kota di Piala FA berulang, Melaka tampil dengan permainan lebih agresif dan berhasil menjaringkan dua gol pantas menerusi Ilisa Spasojevic pada minit ke-27, dan Jasmir Mehat pada minit ke-31.

Skuad bimbingan Ismail Zakaria bangkit mengasak di babak kedua untuk sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata namun Melaka beraksi cemerlang untuk mempertahankan kedudukan sehingga wisel penamat.

Kemenangan membolehkan Melaka membuka jurang tiga mata di tangga teratas, mendahului liga dengan 21 mata manakala Kuala Lumpur yang mengalami kekalahan pertama terus tergelincir ke tangga ketiga setelah dipintas Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan melonjak ke tangga kedua menerusi beza jaringan setelah membenam cabaran naib juara Piala FAM musim lalu, Perlis 3-1 di Paroi.

Jaringan Alexander Smith pada minit ke-37 dan Taylor Reagan pada minit ke-39 membolehkan tuan rumah mendahului 2-0 sebelum Edward Wilson mengurangkan defisit jaringan pada minit akhir separuh masa pertama.

Joel Chianese bagaimanapun memastikan skuad Dollah Salleh pulang berputih mata apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-68 untuk melengkapkan kemenangan kelima buat Hoben Jang Hoben.

PKNS Selangor pula menjaringkan tiga gol di babak kedua untuk mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Uitm FC dan melonjak ke tangga keempat liga. Juan Manuel Cobelli menjaringkan dua gol manakala satu gol lagi dijaringkan Gabriel Guerra.

Johor Darul Takzim II mengukuhkan peluang untuk menamatkan pusingan pertama di kelompok lima teratas meskipun terpaksa bekerja keras sebelum menang tipis 1-0 ke atas Sabah, menerusi jaringan tunggal Hafiy Haikal Ismail pada minit ke-31.

JDT II dan PKNS masing-masing mengumpul 16 mata ketika ini.

Begitupun, Kuantan FA dilihat tidak mahu menyerah kalah dalam usaha merebut tempat di Piala Malaysia apabila mengekori rapat PKNS dan JDT II setelah mencatat satu lagi kemenangan dengan menewaskan Sime Darby 4-2.

Abdul Malik Mat Arif menjaringkan dua gol manakala Fikri Abdullah dan Srdjan Vidakovic menyumbat satu gol masing-masing tatkala gol saguhati buat Sime Darby dijaringkan Mateo Roskam dan Frederic Pooda.

Dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di Tanjung Malim, DRB Hicom mencatat kemenangan pertama selepas empat perlawanan dengan menewaskan pasukan tangga tercorot, Angkatan Tentera Malaysia 4-0.

Kesemua gol DRB Hicom dijaringkan di babak pertama oleh Fakrul Aiman, Ivan Babic, Nazri Kamal dan Godwin Antwi. Dengan tiga mata ini, DRB kini mengumpul 13 mata dan kekal di tangga ketujuh liga.

- Advertisement -