Oleh Muhammad Aiman
Kedah silap jika mereka menganggap faktor keletihan pemain Johor Darul Takzim yang beraksi pada perlawanan Piala AFC di pertengahan minggu, bakal memberi mereka kelebihan besar pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu ini.
JDT bakal turun beraksi dalam perlawanan kesembilan mereka untuk bulan April ini apabila melayan kunjungan Lang Merah di Larkin dalam misi menterbalikkan defisit jaringan setelah tewas 1-2 di Alor Star dua minggu lalu.
Namun mereka pada hakikatnya memiliki barisan terkuat untuk diturunkan dengan kesemua pemain utama dijangka berada dalam tahap kecergasan penuh setelah Mario Gomez memilih untuk menyenaraikan barisan kedua ketika Harimau Selatan menewaskan kelab Myanmar, Ayeyawady FC 2-1 dalam saingan Piala AFC pada Rabu.
Selain ketua pasukan Safiq Rahim, Aidil Zafuan Razak dan S. Kunalan yang tidak dibawa ke Myanmar, Gomez turut merehatkan kesemua pemain importnya iaitu Marcos Antonio, Hariss Harun, Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martin Lucero dan berhasil mencatat kemenangan kelima dalam Kumpulan H menerusi 100 peratus kudrat pemain tempatan.
âKami adalah satu-satunya pasukan yang bermain dalam tiga kejohanan iaitu liga, Piala FA dan Piala AFC. Kami berdepan perlawanan selang tiga hari sekali dan ianya menjejaskan prestasi pemain. Pemain bukannya mesin atau robot, mereka juga perlukan rehat untuk berada pada prestasi terbaik,â jelas Gomez.
Tambah Gomez, âFokus kita seterusnya adalah Kedah, kita mungkin ketinggalan secara agregat tetapi saya percaya kami mempunyai kualiti untuk tewaskan Kedah. Semua pemain tonggak boleh beraksi, jadi tiada sebab untuk kita gagal. Apa sekalipun kami tetap hormati Kedah dan jangkakan satu perlawanan yang menarik nanti.â
Ketika aksi separuh akhir di Alor Star pada 16 April lalu, JDT tewas tipis 1-2 menerusi jaringan Farhan Roslan dan Sandro Da Silva manakala gol tunggal mereka dijaringkan Juan Martin Lucero.
Kali terakhir skuad Harimau Selatan layak ke perlawanan akhir Piala adalah pada 2013, tewas kepada Kelantan 0-1 manakala Kedah pula mencari tiket final pertama selepas enam tahun.