Oleh Muhammad Aiman
Jorge Pereyra Diaz membawa Johor Darul Takzim ke aksi final Piala FA setelah jaringan minit akhirnya membantu Harimau Selatan menewaskan Kedah 3-1 pada aksi separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
Beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri, JDT tampil dengan aksi bertenaga meyakinkan dan pantas memadam kelebihan agregat Lang Merah menerusi jaringan Diaz pada minit ke-24.
Juan Martin Lucero kemudiannya menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-53, namun Fakri Saarani merapatkan jurang 1-2 pada minit ke-67 untuk mengikat kedudukan agregat menjadi 2-2.
Tatkala perlawanan dilihat akan berlanjutan ke masa tambahan, Diaz mengambil kesempatan atas kekalutan di depan gawang Kedah dengan merembat masuk dari jarak dekat menewaskan Farhan Abu Bakar, dan memastikan JDT layak ke final dengan agregat 4-3.
Ini adalah kali kedua JDT melangkah ke final setelah melakukannya pada 2013.
Lawan yang menanti skuad bimbingan Mario Gomez pada perlawanan akhir nanti adalah pasukan Liga Premier, PKNS Selangor yang melakar sejarah mara ke final buat pertama kali setelah menundukkan Perak di Stadium Ipoh.
PKNS yang menyingkirkan Terengganu dan Felda United pada pusingan terdahulu, meneruskan aksi âgiant-killerâ mereka dengan menjadikan The Bos Gaurus sebagai mangsa terbaru.
Gol sumbangan dua pemain import, Matias Jadue pada minit ketujuh dan Juan Manuel Corbelli pada minit ke-68, membolehkan anak buah E.Elavarasan mencatat kemenangan 2-1 dan mengesahkan kemaraan ke final menerusi agregat 4-3 tatkala Perak kempunan menoktahkan penantian beraksi di final selama 11 tahun.
Aksi final antara JDT dan PKNS akan berlangsung di Stadium Shah Alam, pada 14 Mei depan.