perlis.penang

Oleh Muhammad Aiman

‘Ingatkan panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari’.

Mungkin itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan situasi di kem Perlis ketika ini yang dikhabarkan kembali dibelenggu penyakit lama – masalah gaji.

Sejauh mana kebenarannya, belum dapat dipastikan namun kelewatan pembayaran gaji malah gaji tidak dibayar penuh tatkala belum pun separuh musim berlalu disebut-sebut sebagai punca pasukan naib juara Piala FAM 2015 itu yang dilabel antara pencabar utama 100 Plus Liga Premier musim ini, gagal menunjukkan prestasi yang baik dan kini menghuni tangga kesembilan liga.

Perlis pada hakikatnya menjanjikan musim yang cemerlang buat penyokong setia mereka.

Namun di sebalik memulakan kempen musim ini dengan kemenangan bergaya 6-1 ke atas ATM, skuad Singa Utara kendalian bekas jurulatih kebangsaan Dollah Salleh hilang momentum apabila hanya mencatat dua kemenangan dari sembilan perlawanan liga selain tersingkir di pusingan kedua Piala FA setelah tewas kepada Kuala Lumpur.

Lebih perit, Perlis kemarau kemenangan dalam enam perlawanan terakhir, tewas empat kali dan seri dua kali dan senario ini memberi bayangan jelas betapa seriusnya masalah yang dihadapi mereka ketika ini.

Umum mengetahui isu gaji tertunggak atau kelewatan pembayaran gaji bukanlah sesuatu yang baru bagi Persatuan Bolasepak Perlis, ia adalah isu berulang sejak dari era PFA dikemudi Datuk Seri Shahidan Kassim dan tidak dinafikan itulah punca yang menyebabkan mereka tersingkir ke Liga FAM.

Hanya pada awal 2015 setelah campurtangan dari Persatuan Bolasepak Malaysia, isu itu akhirnya selesai dengan 12 pemain dan pegawai pasukan didahului ketua jurulatih, Yunus Aliff menerima bayaran tunggakan mereka bagi tahun 2013 dan 2014.

Perlis yang bergelumang semusim dalam saingan Piala FAM, kembali beraksi di Liga Perdana menerusi sentuhan bekas legenda mereka, Yusri Che Lah yang memanfaatkan sepenuhnya tenaga pemain muda.

Sejurus kembali, Singa Utara adalah antara pasukan yang membuat persiapan pra-musim lebih gah berbanding pasukan lain merekrut pemain-pemain berprofil tinggi dalam Liga Malaysia antaranya Obinna Nwaneri, Mohamadou Sumareh, Edward Wilson Junior dan juga penerima gaji tertinggi pasukan itu, Kayne Vincent.

Manakala antara pemain tempatan yang membarisi skuad mereka adalah Afif Amirudin,  Azizon Abd Kadir, V.Thirumurugan, Fauzi Abd Majid dan Alafi Mahmud.

Sports247 akan mendapatkan kenyataan dari Presiden PFA, Datuk Rozabil Abdul Rahman berhubung kesahihan isu ini dan sekiranya benar, maka penyelesaian segera perlu diusahakan sebelum keadaan bertambah parah.

- Advertisement -