Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) logo

Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mempersoal tindakan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang tidak memperuntukkan jualan tiket untuk penonton kanak-kanak dan pelajar bagi perlawanan akhir Piala FA yang dijadualkan pada 14 Mei 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa melihat keputusan itu sebagai langkah ke belakang oleh FMLLP yang memegang tanggungjawab untuk mencipta keghairahan bagi saingan bolasepak tempatan.

“Peruntukan jualan tiket dengan harga lebih rendah untuk kanak-kanak dan pelajar, sepertimana amalan biasa harus diteruskan. Saya hairan dengan alasan kononnya penjualan tiket sebegitu pernah disalahgunakan kerana tiada langsung laporan mengenainya diketengahkan sebelum ini.

“Malah kenaikan harga tiket kepada RM50 untuk membolehkan pelbagai acara dianjurkan sebagai pengisian program sebelum sepakmula final juga bukan alasan wajar kerana ia membebankan penyokong yang perlu berbelanja besar untuk hadir menyaksikan perlawanan di stadium.

“Seharusnya FMLLP menggunakan kebijaksanaan menampung kos penganjuran pelbagai program awal itu menerusi penajaan, bukannya meminta penyokong menyalurkan kos menerusi kenaikan harga tiket,” kata Khawari.

Ahmad Khawari seterusnya mendesak Persatuan Bolasepak Malaysia untuk campurtangan dengan mengetepikan keputusan FMLLP dan kembali memperkenalkan jualan tiket untuk kanak-kanak dan pelajar.

Tambahnya, “FAM tidak harus akur dengan pendekatan ‘keuntungan jangka pendek’ yang jadi amalan FMLLP kerana dengan menggalakkan kehadiran lebih ramai kanak-kanak dan pelajar menyaksikan perlawanan penting, ia akan memperkukuhkan minat terhadap bolasepak tempatan untuk jangka panjang.”

Perlawanan akhir Piala FA membabitkan pertemuan antara Johor Darul Takzim dan PKNS Selangor akan berlangsung pada 14 Mei, di Stadium Shah Alam.

Sebanyak 70,000 tiket akan dijual dengan 50,000 tiket diperuntukkan kepada pasukan JDT manakala PKNS pula hanya meminta sebanyak 10,000 tiket. Sebanyak 10,000 lagi akan dijual secara atas talian bermula 9 Mei di laman sesawang www.tickethotline.com.my

- Advertisement -