Oleh Muhammad Aiman
Juara bertahan, Johor Darul Takzim mengakhiri saingan peringkat kumpulan Piala AFC dengan penuh bergaya apabila menewaskan pasukan tangga kedua, JSW Bengaluru 3-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin sekaligus mengekalkan rekod bersih menang kesemua enam perlawanan.
JDT yang sudahpun mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan H sebelum perlawanan, sekali lagi turun tanpa beberapa tonggak utama yang direhatkan menjelang aksi final Piala FA dan menyandarkan sepenuhnya harapan kepada kudrat pemain tempatan.
Tanpa jaringan di babak pertama yang mana kelab dari India itu dilihat lebih berminat untuk mencipta kejutan di Larkin, JDT tampil sebagai pasukan berbeza di babak kedua dengan rembatan Safee Sali mengegar palang pada minit ke-54.
Kemasukan Safiq Rahim merubah jalan cerita perlawanan apabila kapten prolifik itu menyudahkan hantaran Junior Eldstal untuk memecah kebuntuan pada minit ke-70, sebelum Safee menggandakan kelebihan buat tuan rumah menerusi penyudah cantik lapan minit selepas itu.
Shakir Shaari melengkapkan kemenangan 3-0 setelah menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan permainan.
Pengendali JDT Mario Gomez memuji kerjasama sepasukan yang ditunjukkan pemainnya, “Walaupun kemasukan Safiq Rahim merubah momentum perlawanan, pasukan ini bukan hanya bergantung kepada hanya seorang pemain. Kesemua 11 pemain adalah penting, dan kesemua mereka telah memberi sumbangan.
“Kami menguasai permainan dengan baik walaupun membiarkan Bengaluru selesa memegang bola pada 10 minit pertama. Kami mungkin boleh mendahului dua, tiga atau empat gol di babak pertama, dan itu sudah cukup untuk saya berpuas hati dengan permainan mereka.”
Menanti JDT di pusingan kedua yang akan berlangsung dalam tempoh dua minggu akan datang adalah kelab Filipina, Kaya FC. Â