IMG-20160511-WA006

IMG-20160511-WA008

Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih pasukan tenis negara, Muliyadi Jamal optimis Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 akan menjadi platform terbaik untuk menoktahkan penantian panjang selama 44 tahun Malaysia untuk menggenggam emas dari acara tenis di temasya dwitahunan itu.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang emas dari acara tenis adalah pada 1973 (ketika itu dikenali Sukan SEAP) menerusi beregu wanita Radhika Menon/Lim Kheow Suen, manakala pencapaian terbaik selepas itu adalah pingat perak pada 2001 menerusi acara berpasukan wanita.

Dan Muliyadi berkata tidak mustahil pencapaian itu boleh diulangi kali ini jika melihat kepada prestasi semasa pemain negara yang tidak banyak beza dengan pemain dari rantau Asia Tenggara yang lain, terutamanya pemain wanita.

“Secara peribadi, saya sasarkan dari kesemua lima acara yang kita akan ambil bahagian sekurang-kurangnya satu akan masuk ke final, seterusnya hadiahkan kita pingat. Kita tidak pernah menang pingat sejak 2001, dan sudah lebih 40 tahun kita tidak genggam emas.

“Jawariah (Nordin) saya lihat mempunyai potensi yang baik malah prestasinya dalam acara beregu bersama Divya (Nair) juga semakin mantap. Mereka adalah potensi terbaik yang saya nampak. Dua acara itu, beserta beregu campuran dan beregu lelaki saya sasar masuk final walaupun sukar.

“Apa sekalipun kita masih ada masa panjang untuk menilai dan mempersiapkan pasukan. Yang penting ketika ini adalah pemain perlu sertai banyak kejohanan untuk perbaiki ranking, jadi apabila berlangsung Sukan Sea kita boleh elak jumpa pasukan kuat seperti Thailand atau Filipina,” ujar Muliyadi.

Muliyadi ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Chef De Mission Sukan Sea 2017, Datuk Marina Chin yang meninjau sesi latihan dan persiapan skuad tenis negara di ibu negara, petang tadi.

Menjelaskan lanjut mengenai perancangan serta program pendedahan yang telah diatur untuk pasukannya, Muliyadi berkata, “Pemain-pemain wanita (Jawariah dan Divya) ketika ini ambil bahagian dalam pertandingan di Mesir selama tiga minggu. Manakala pemain lelaki akan ambil bahagian di sirkit kebangsaan minggu ini.

“Selepas itu mereka akan ambil bahagian di sirkit di Alntalya, Turki selama empat minggu. Kemudian pada minggu kedua puasa kita akan kembali menjalani latihan di sini untuk persiapan play-off Piala Davis Malaysia menentang Kuwait pada 14-17 Julai. Selepas itu kita akan main beberapa sirkit di sekitar Asia untuk persediaan Sukan Sea.”

- Advertisement -