Oleh Ku Mohd Lufti
Tiada istilah tugas mudah buat Kapten pasukan JDT Safiq Rahim ke atas pasukan PKNS dalam misi memburu trofi Piala FA malam esok.
Bagi Safiq, PKNS FC mempunyai kombinasi antara pemain tempatan dan import yang terbaik, malah dianggap mampu mengucar kacirkan kubu JDT.
“Semua pemain PKNS FC berbahaya kerana mereka telahpun menewaskan beberapa pasukan Liga Super, baik ditempat sendiri atau digelanggang lawan.” Kata Safiq Rahim.
Pastinya impian penyokong The Southern Tigers mahukan piala FA dibawa ke selatan tanah air, namun bagi Safiq, mara ke final adalah pencapaian yang membanggakan.
Meskipun sudah sinonim dengan pentas final, namun pemain berusia 28 tahun ini menganggap tekanan tetap wujud dan berbeza beza.
“Perlawanan perlawanan yang kami lalui ada tekanan tersendiri, apa yang penting untuk kami adalah pemain perlu ada karakter masing masing seperti yang dikatakan oleh jurulatih (Mario Gomez). Jika kami ada karakter tersendiri, kami yakin mampu atasi tekanan tersebut.” Kata Safiq Rahim.
Kapten pasukan PKNS FC yang dilabel dengan status underdog pula, Shahrul Azhar Ture melihat rakan rakannya bersemangat untuk melakar sejarah di Shah Alam malam esok.
“Saya berharap rakan sepasukan akan memberikan persembahan terbaik seperti yang dipamerkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Ia juga selaras dengan slogan pasukan ‘Never Give Up, Never Surrender’ yang diterap pemain dalam setiap perlawanan yang dihadapi,” kata Shahrul Azhar.