rio.2016.mascot

Oleh Muhammad Aiman

Jaguh lompat kijang kebangsaan, Muhammad Hakimi Ismail bersedia mengerah sepenuh kudratnya dalam tempoh getir kurang dua bulan yang masih berbaki untuk memburu tiket beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan.

Pemegang rekod kebangsaan dan Sukan Sea dengan lompatan sejauh 16.76m itu hanya ketinggalan 0.9m dari had kelayakan Sukan Olimpik iaitu 16.85m.

Justeru Hakimi yang semakin menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan Victor Sotnikov bertekad untuk terus memperbaiki lompatan dan mengesahkan slot secara merit ke Rio sebelum tarikh akhir kelayakan pada 11 Julai depan menerusi penyertaan di beberapa kejohanan di negara Asia Tengah pada bulan Jun nanti.

“Saya akan menyertai kejohanan di Kyrgyzstan dan Kazakhstan sepanjang bulan puasa nanti. Berdasarkan pencapaian dalam beberapa kejohanan sebelum ini dan juga ketika latihan, prestasi saya semakin meningkat. Ini memberi saya keyakinan untuk melakukan lompatan yang lebih baik untuk merebut tiket ke Rio.

“Selain itu, saya juga akan menyertai beberapa kejohanan tempatan sebelum ke sana bagi mendapatkan rentak,” kata Hakimi yang ditemui pemberita setelah berakhir majlis Anugerah Sukan Universiti Putra Malaysia ke-32 petang tadi.

Antara kejohanan utama yang akan disertai oleh atlet berusia 25 tahun itu adalah Kejohanan Antarabangsa T.Kolpakova di Bishkek, Kyrgyzstan pada 18 Jun disusuli Kejohanan Memorial Kosanov di Almaty, Kazakhstan pada 25 Jun.

Hakimi sememangnya disebut-sebut sebagai antara salah seorang atlet harapan Kesatuan Olahraga Malaysia untuk layak secara merit ke temasya berprestij dunia itu jika mengambil kira prestasi semasa, selain Nauraj Singh Randawa yang sudahpun mengesahkan tempatnya di Rio pada bulan lalu.

Setakat ini, hanya Nauraj satu-satunya atlet olahraga yang akan membawa cabaran di Rio setelah memperbaharui rekod kebangsaan dengan lompatan setinggi 2.29m di Kejohanan Terbuka Singapura yang juga menyamai had kelayakan Olimpik.

Terdahulu, Hakimi dan atlet memanah negara Saritha Cham Nong masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati UPM pada majlis itu yang mengiktiraf lebih 200 atlet dan pegawai yang menyumbang kepada kepada kejayaan sukan dari peringkat universiti hingga antarabangsa.

Selain trofi, Hakimi dan Saritha masing-masing turut membawa pulang wang tunai RM1,000, jaket, seutas jam tangan dan sijil yang disampaikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datuk Dr Muhammad Shatar Sabran.

Bagi Saritha, penghargaan yang diterima ini menyuntik semangat dan motivasinya untuk menampilkan aksi cemerlang dan pulang dengan satu pingat di Kejohanan Universiti Dunia yang akan berlangsung di Mongolia dari 1-5 Jun depan.  

- Advertisement -