FieldHockey

Oleh Muhammad Aiman

Hasrat pasukan wanita Selangor mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Kumpulan A Kejohanan Hoki Piala Razak 2016 disentap Pahang yang bangkit dari ketinggalan tiga gol untuk mencatat keputusan seri 3-3 di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Ahad.

Selangor yang membuka kempen dengan kemenangan 5-2 ke atas Sarawak, dilihat tidak bermasalah untuk meneruskan rentak kemenangan apabila jaringan Ellya Syahirah Elias (m-12) dan adiknya Ellya Amanina Elias (m-36) disusuli pukulan penalti yang disempurnakan Fatin Shafika Sukri pada minit ke-45 membolehkan mereka mendahului 3-0.

Dengan perlawanan berbaki 11 minit dan perjuangan mereka seolah sudah berakhir, Pahang menterjemahkan kebangkitan menakjubkan apabila menjaringkan tiga gol dalam tempoh lima minit untuk mengecewakan hasrat Selangor mengutip tiga mata.

Wan Nur Faiezah Saiuti memulakan kebangkitan Pahang apabila menjaringkan gol pada minit ke-49 diikuti gol menerusi pukulan sudut penalti kapten pasukan kebangsaan, Nadia Abdul Rahman pada minit ke-52.

Pahang yang tidak beraksi pada Sabtu, meraih satu mata setelah Fatin Naimah Zaki menjaringkan gol penyamaan seminit kemudian sekaligus memastikan Pahang membuka kempen dengan cukup dramatik.

Keputusan seri bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Selangor di kedudukan teratas setelah pencabar terdekat, Johor turut mencatat seri dengan keputusan sama, 3-3 menentang Sarawak.

Ketua pasukan Hanis Nadia Onn menjaringkan dua gol pada minit kelapan dan 33 buat pasukan dari selatan itu, manakala satu lagi jaringan disumbangkan Norafiza Sulaiman.

Sementara bagi pasukan Sarawak, Suhaila Sata muncul wira apabila menjaringkan hatrik pada minit ke-9, 39 dan 43.

Sementara itu, Terengganu dan Kuala Lumpur berpesta gol setelah menundukkan Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing, untuk memastikan saingan kembali terbuka di antara kesemua lima pasukan di dalam Kumpulan B.

Terengganu bangkit dari kekalahan kepada ATM, untuk membelasah Negeri Sembilan 10-0 menerusi tiga gol jaringan Nuraishah Hashim serta dua gol masing-masing jaringan Nurfatin Nabila dan Siti Nurul Afina Mat Jusoh.   

Tiga lagi jaringan buat Terengganu hadir menerusi Nadia Zamri, Nurul Najjah Farhani dan Auni Atikah Ghani.

Kuala Lumpur pula memulakan cabaran di kejohanan edisi ke-54 menerusi kemenangan 5-0 ke atas Negeri Sembilan, terima kasih kepada dua jaringan Arinah Azzyati Iskandar dan satu masing-masing menerusi A.Kannagi, Qasidah Najwa dan Nur Shafiqah Muhd Zain.

Dalam aksi sulung Kumpulan C, Melaka menewaskan Perak 1-0 menerusi jaringan tunggal ketua pasukan Nur Aisyah Yaakob manakala Pulau Pinang menewaskan Kedah 4-2.

- Advertisement -