Oleh Muhammad Aiman
Dua bekas juara Divisyen Satu, Terengganu dan Perak membuka tirai aksi Kumpulan B dengan langkah kanan setelah masing-masing mengutip tiga mata dalam aksi sulung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada Ahad.
Dalam pertembungan antara dua pasukan yang dilimpahi pemain kebangsaan, Terengganu, juara 2012 mencatat kemenangan dramatik 3-2 ke atas Kuala Lumpur yang memburu gelaran ke-20, setelah bangkit daripada ketinggalan dua gol.
Dua gol jaringan penyerang kebangsaan, Shahril Saabah menerusi pukulan penalti pada minit kelima dan pukulan sudut penalti pada minit ke-18 meletakkan Kuala Lumpur selesa mendahului 2-0.
Namun Terengganu bangkit menerusi dua gol pantas menerusi pukulan sudut penalti Nik Aiman Nik Rozami pada minit ke-21 dan 23 sebelum mengesahkan kemenangan menerusi seorang lagi penyerang The Speedy Tigers, Fitri Shaari sepuluh minit sebelum tamat permainan.
Manakala Perak, juara 2013 dan 2014 melaungkan hasrat untuk merampas semula trofi yang terlepas ke tangan Melaka tahun lalu, dengan mencatat kemenangan 5-2 ke atas Negeri Sembilan (gambar utama).
Perak mendahului seawal minit pertama menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Syed Muhammad Syafiq Syed Cholan dan menambah empat lagi jaringan menerusi Hafifihafiz Hanafi pada minit ke-18 dan 29, Zulhamizan Awang minit ke-27 dan Ashran Hamsani pada minit ke-32 untuk mendahului 5-0.
Negeri Sembilan tampil dengan aksi lebih baik di babak kedua dan berhasil untuk mendapatkan dua jaringan menerusi dua pemain kebangsaan, G.Kevinkarthik dan Dangerous Lee namun tidak memadai untuk menghalang Perak dari mengutip tiga mata.
Terdahulu pada Sabtu, juara bertahan Melaka memulakan kempen mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Pahang 3-1, sementara PDRM mendapat manfaat segera dari kehadiran ketua pasukan kebangsaan, Razie Rahim yang menjaringkan dua gol untuk PDRM menewaskan Johor 3-2.
Sementara itu bagi saingan Divisyen Dua, dua perlawanan Kumpulan A berlangsung pada Ahad.
Pulau Pinang mengekalkan rekod kemenangan setelah menewaskan Kedah 3-2 manakala Perlis menyentap hasrat Selangor untuk meneruskan aksi cemerlang sepertimana hari pembukaan, apabila menewaskan naib juara tahun lalu itu 2-1.