Oleh Muhammad Aiman
Jaguh silat Mohd Al Jufferi Jamari dan ratu terjun kebanggaan negara, Pandalela Rinong dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2015 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, malam Rabu.
Al Jufferi dan Pandalela masing-masing menerima Piala Pusingan, Piala Iringan dan wang tunai berjumlah RM20,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’ adzam Shah.
Lebih manis buat Al Jufferi, ini bukan sahaja kemenangan pertama buatnya di ASN tetapi turut memecah tradisi dan sejarah penganjuran 50 tahun ASN apabila menjadi atlet pertama dari sukan silat untuk menerima pengiktirafan ini.
Kemenangan Jufferi antaranya bersandarkan kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Sea Singapura 2015, Kejuaraan Silat Dunia Ke-16 di Thailand dan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Dunia juga di Thailand.
Manakala bagi Pandalela yang akan beraksi di Sukan Olimpik Ogos depan, ianya adalah kali ketiga dia memenangi anugerah ini setelah memenanginya pada 2011 dan 2012.
Selain pingat emas Sukan Sea 2015 dalam acara kegemarannya 10m platform, atlet kelahiran Sarawak itu turut memenangi pingat gangsa di Kejohanan Akuatik Dunia Kazan yang melayakkannya ke Sukan Olimpik, serta gangsa di Siri Terjun Dunia Kanada 2015.
Sementara itu, pemenang dua pingat emas di Sukan Para Asean Singapura, Mohamad Ridzuan Md Puzi dinobatkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.
Manakala gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan menjadi milik atlet kelahiran Sabah, Felicia Mikat yang mencuri tumpuan dengan merangkul tiga pingat emas, juga di Sukan Para Asean.
Bagi kategori jurulatih lelaki kebangsaan, menjadi milik jurulatih Silat Kebangsaan Nasri Nasir yang membawa atlet silat meraih kejayaan demi kejayaan mengagumkan di pentas antarabangsa.
Manakala kategori jurulatih wanita kebangsaan, Norsham Yon yang merupakan jurulatih pasukan olahraga paralimpik kebangsaan menerima anugerah tersebut di atas pencapaian
meraih satu emas, satu perak dan satu gangsa di sukan Para Asean Singapura.
Pasukan Memanah Lelaki dan Wanita kebangsaan yang meraih pingat emas Sukan Sea bagi acara berpasukan compound pula dinobatkan sebagai Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan.
Anugerah Khas Tokoh Sukan disampaikan kepada bekas presiden Persatuan Boling Padang Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan juga lagenda sukan olahraga tanah air Tan Sri Dr. M. Jegathesan.
Turut hadir menjayakan Majlis Anugerah Sukan Negara ke-50 adalah Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Senarai Pemenang Anugerah Sukan Negara Ke-50
Olahragawan Kebangsaan: Mohd Al Jufferi Jamari (Silat)
Olahragawati Kebangsaan: Pandalela Rinong (Terjun)
Olahragawan Para Kebangsaan: Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi (Olahraga)
Olahragawati Para Kebangsaan: Felixia Mikat (Olahraga)
Pasukan lelaki kebangsaan: Pasukan Memanah Lelaki (Compound) Kebangsaan
Pasukan wanita kebangsaan: Pasukan Memanah Wanita (Compound) Kebangsaan
Jurulatih lelaki kebangsaan: Nasri Nasir (Silat)
Jurulatih wanita kebangsaan: Norsham Yoon (Olahraga)
Tokoh Sukan: Tan Sri Dr M. Jegathesan, Tun Ahmad Sarji Abd Hamid
Anugerah Kepimpinan Sukan: Dato’ Kamarruzaman Abu Kasim (Pelayaran), Dato’ Yeoh Choo Hock (Bola Keranjang)