sea_games_2017

Oleh Muhammad Aiman

Jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei memberi jaminan penuh bahawa dia akan beraksi di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, 12 tahun selepas penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan itu.

Pada ketika ramai yang membayangkan Sukan Olimpik Rio De Janeiro Ogos depan akan menjadi aksi terakhir Chong Wei di pentas antarabangsa dek faktor usia, Chong Wei tampil menafikan perkhabaran tersebut.

“Ya, seratus peratus saya akan bermain, saya sudah berjanji dan kamu boleh pegang kata-kata saya,” kata Chong Wei yang kali terakhir beraksi dalam acara perseorangan di Sukan Sea 2005 di Manila, Filipina manakala pada 2015, Chong Wei hanya beraksi dalam acara berpasukan.

Meskipun mempunyai deretan koleksi pingat dan kejuaraan dalam kabinetnya, pingat emas acara perseorangan Sukan Sea masih belum pernah dimiliki Chong Wei, dengan pencapaian terbaiknya hanyalah gangsa pada 2005, selain turut pernah memenangi emas acara berpasukan pada tahun sama.  

Pada edisi ke-28 tahun lalu, Malaysia meraih emas acara perseorangan lelaki di Singapura menerusi Chong Wei Feng yang menoktahkan kemarau emas 15 tahun dan kehadiran Chong Wei, dilihat sebagai peluang terbaik buat kontijen negara mengekalkan emas dalam acara perseorangan lelaki.

Sementara itu, mengenai kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang berkata bahawa kudratnya masih diperlukan negara pada kempen Piala Thomas 2018, Chong Wei berkata hanya masa akan menentukan sama ada dia akan memilih untuk terus beraksi atau tidak.

Finalis Sukan Olimpik dua kali itu berkata, “Jika menteri mahu saya bermain, sudah tentunya saya akan pertimbangkan. Tetapi saya perlu mengambil kira banyak faktor terutamanya kecergasan, tiada sebarang kecederaan dan prestasi juga perlu berada pada tahap terbaik. Jika tidak, lebih baik beri ruang kepada pemain muda untuk beraksi.

“Dan jika saya beraksi, saya tidak fikir saya akan turun sebagai perseorangan ketiga (seperti kata Khairy). Jika saya mahu, saya akan terus kekal sebagai nombor satu. Jika saya mahu, jika saya bekerja keras dalam latihan dan tiada kecederaan, saya masih akan kekal sebagai perseorangan pertama negara,” ujar Chong Wei yang akan berusia 34 tahun pada Oktober depan.

Sebelum ini, Chong Wei mengumumkan bahawa Piala Thomas 2016 di Kunshan minggu lalu yang berakhir dengan Denmark muncul juara adalah penampilan terakhirnya di kejohanan berpasukan dwitahunan itu.

- Advertisement -