Oleh Muhammad Aiman
Tidak pernah sekalipun terlintas dalam fikirannya akan bergelar atlet terbaik tanah air di pentas Anugerah Sukan Negara yang pernah menobatkan nama-nama seperti Tan Sri Dr.M.Jegathesan, Rabuan Pit, Punch Gunalan, Rashid Sidek, Lee Chong Wei dan ramai lagi jagoan sukan tanah air.
Apatah lagi mewakili sukan silat, sukan terpencil yang tidak ramai peminat, ianya seumpama sebuah mimpi yang menjadi kenyataan namun Mohamad Al Juffery Jamari, Olahragawan Kebangsaan 2015 percaya pengiktirafan yang diterimanya telah berjaya mengangkat imej dan martabat sukan silat seterusnya menjanjikan masa depan lebih gemilang buat sukan itu.
âIa kemenangan yang tidak diduga sama sekali, silat tidak mempunyai jumlah pegikut atau penyokong yang ramai sepertimana sukan-sukan popular yang lain. Jadi, sudah tentunya ia satu pengiktirafan yang cukup besar bukan sahaja buat saya, tetapi juga untuk silat itu sendiri untuk muncul pemenang di sambutan jubli emas Anugerah Sukan Negara.
âIni adalah kali ketiga saya dicalonkan untuk Olahragawan Kebangsaan sejak 2012, dan saya bersyukur kali ini rezeki saya untuk memenanginya. Semua calon yang berdiri di pentas ini adalah juara, dalam sukan masing-masing dan untuk menewaskan mereka adalah luar biasa. Kemenangan ini akan tercatit dalam sejarah kerana silat telah menang di pentas ini selepas 50 tahun,â ujar Juffery.Â
Untuk rekod, sepanjang 49 edisi ASN sebelum ini, atlet dari sukan badminton muncul pemenang Olahragawan Kebangsaan sebanyak 18 kali manakala berbasikal dan olahraga sebanyak lapan kali. Â
Juara dunia dua kali yang berasal dari Pahang itu turut berterima kasih kepada Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) serta semua jurulatih dan juga âtok guruânya yang bertanggungjawab membimbingnya mencapai kejayaan demi kejayaan dalam karier.
âSaya bukan sesiapa ketika saya bermula sebagai seorang pesilat, terima kasih kepada ibu bapa, keluarga, Pesaka, jurulatih dan semua tok guru saya yang memberi sokongan dan tunjuk ajar untuk saya sampai sejauh ini. Saya akan terus berjuang untuk membawa gemilang dan pengiktirafan berterusan untuk sukan ini,â katanya.Â
Kemenangan di ASN-50 turut menyuntik semangat dan motivasi Al Juffery untuk mencari gelaran dunia ketiga dalam Kelas Putra E (65-70kg) di Kejuaraan Silat Dunia yang akan berlangsung di Bali, Indonesia pada hujung tahun nanti.
Atlet berusia 24 tahun itu dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan bersandarkan kepada deretan pencapaian cemerlangnya memenangi tujuh pingat emas dalam pelbagai kejohanan tahun lalu, antaranya di Sukan Sea Singapura, Kejohanan Silat Dunia ke-16 di Bangkok, Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Dunia di Bangkok dan juga Kejohanan Silat Terbuka Belgium.
Al Juffery menewaskan lima calon lain iaitu Ooi Tze Liang (terjun), Rafiq Ismail (boling), Loh Jack Chang (wushu), Hariff Salleh (berbasikal) dan Thor Chuan Leong (snuker).Â