subahan

tm (1)

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan sebagai tuan rumah Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2016 pada Oktober depan sebagai pentas terbaik untuk mengutip mata dan memperbaiki ranking dunia, demikian menurut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia, Dato’ Seri Subahan Kamal.

Buat pertama kalinya, Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memperkenalkan mata bagi kejohanan dwitahunan itu yang memasuki edisi keempat justeru Subahan berpendapat ia membekalkan peluang terbaik untuk bukan sahaja melonjakkan ranking pasukan negara, tetapi juga pendedahan buat barisan muda The Speedy tigers.

“Ketika ini kita berada di ranking ke-13 dunia, mungkin selepas Olimpik kita jatuh ke tangga ke-14. Jadi dengan berlangsungnya kejohanan ini yang turut memberikan mata, saya percaya kita akan dapat memberikan satu aksi yang baik dan mengutip mata untuk melonjakkan semula ranking ke kedudukan lebih baik.

“Seperti biasa, saya tidak meletakkan sebarang sasaran, sasaran akan diletakkan oleh jurulatih. Sudah tentunya kita akan bermain untuk menang, siapa yang tidak mahu menang tetapi perlu diingat kita akan menentang pasukan terbaik Asia tetapi melihat kepada cara kita membentuk pasukan dengan kudrat tenaga muda, saya percaya kita boleh berada di final,” katanya.

Ditanya mengenai kaedah pemberian mata, Subahan bagaimanapun menegaskan MHC masih samar akan perkara tersebut memandangkan belum ada sebarang pemakluman dari FIH. 

“Secara jujur, kita belum dimaklumkan oleh FIH mengenai bagaimana cara mata diberi, berapa mata dan sebagainya. Saya berpendapat FIH perlu mengambil inisiatif untuk menulis kepada semua negara di seluruh dunia, menjelaskan terperinci tentang kejohanan ini dan pengenalan mata. Mungkin cara begitu adalah lebih baik tetapi kita tunggu dan lihat,” jelas Subahan.  

Subahan pada Rabu mengesahkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah kejohanan ACT 2016 yang akan berlangsung di Kuantan dari 19 – 30 Oktober depan, selepas mewakili MHC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penganjuran ACT 2016 bersama Persekutuan Hoki Asia yang diwakili Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sementara itu, Tengku Abdullah dalam satu kenyataan ringkas menyatakan harapannya agar Malaysia akan sekali lagi membuktikan kemampuan untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa seterusnya menunjukkan satu persembahan bertenaga untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terkuat Asia.   

ACT 2016 akan membabitkan penyertaan pasukan-pasukan seperti juara Asia yang berada di ranking ketujuh dunia iaitu India, Korea Selatan yang menghuni ranking kesembilan, Pakistan ranking ke-10, serta Jepun (16) dan China (19).

- Advertisement -