Oleh Muhammad Aiman
Setelah gagal menyerlah dalam tiga penampilan di siri Piala Dunia tahun ini, atlet menembak kebangsaan, Muhd Ezuan Nasir Khan percaya dia akan dapat menunjukkan prestasi terbaiknya di siri keempat dan terakhir bagi tahun 2016 yang akan berlangsung di Baku, Azerbaijan.
Ezuan beroleh tonik terbaik menjelang kejohanan itu yang akan berlangsung dari 20-25 Jun depan apabila meraih tiga pingat emas di Kejohanan Menembak Selangor yang menutup tirai pada Jumaat.
Penembak elit kebangsaan itu yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia meraih emas ketiganya dalam acara 50m prone rifle individu pada hari terakhir kejohanan dengan mengumpul 201.9 mata, sebagai tambahan kepada dua emas yang dimenanginya menerusi acara 10m air rifle individu dan juga berpasukan pada Khamis.
Atlet berusia 27 tahun itu mengakui bahawa dia sebelum ini bimbang mengenai prestasinya yang tidak begitu baik di pentas antarabangsa apatah lagi pencapaian terbaik terakhirnya adalah memenangi pingat perak di Sukan Asia, Incheon pada 2014.
“Sebagai atlet rifle nombor satu negara, saya tahu saya perlu menterjemahkan prestasi terbaik di peringkat antarabangsa menjelang Sukan Sea Kuala Lumpur tahun depan. Justeru saya berharap dapat bawa prestasi yang ditunjukkan di sini ke Piala Dunia nanti.
“Saya bergelut untuk tampil pada prestasi terbaik saya dalam tiga siri yang lalu di Bangkok (Mac), Rio De Janeiro (April) dan Munich (Mei). Ketika di Munich, saya mengumpul 619 mata pada pusingan kelayakan dan telah berjaya perbaiki catatan itu sebanyak 0.9 mata.
“Saya cukup gembira dengan prestasi dan pencapaian keseluruhan di sini dan yakin dapat buat lebih baik di Azerbaijan nanti,” ujar Ezuan, yang memegang rekod kebangsaan dengan 622.7 mata.