Oleh Ku Mohd Lufti
Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Muhammad memohon isu melibatkan atlet pecut negara, Badrul Hisyam Abdul Manap (gambar utama) dan Khairul Hafiz Jantan yang mahu menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak tidak lagi diperbesar besarkan.
Keputusan itu jelas memberi impak serta merta apabila ramai yang berpendapat keputusan mereka untuk menyertai SUKMA berbanding Kejohanan Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland tidak wajar, malah melabelkan atlet muda ini sebagai jaguh kampung.
Nazmizan menerusi kenyataan dilaman social Facebooknya menjelaskan ia merupakan perancangan yang telahpun ditetapkan oleh jurulatih Mohd Poad Md Kassim.
“Cikgu Poad menetapkan SUKMA dan Kejohanan Remaja Asia sebagai tarikh akhir dan kemuncak prestasi (peak) kedua dua atlet tersebut, Kejohanan Remaja Dunia tiada dalam kalendar latihan.
“Untuk mengubah di saat akhir akan mengganggu konsentrasi dan perancangan kejurulatihan, usahlah kita mencampuri atau menjadikan hal ini sesuatu isu yang besar.” Kata Nazmizan.
Malah, bekas raja pecut Asia ini juga mengharapkan keputusan yang dibuat oleh cikgu Poad dihormati kerana jurulatih pecut Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu sedang merangka pelan jangka panjang.
Nazmizan juga mengharapkan dua atlet pecut ini mampu memecahkan rekod ketika beraksi di SUKMA Sarawak nanti.