rio.olympics

Oleh Muhammad Aiman

Perenang jarak jauh negara, Heidi Gan sekali lagi menjadikan Setubal Bay di Portugal sebagai arena bertuah buatnya untuk mengesahkan tiket beraksi di Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang akan berlangsung Ogos depan.

Di venue sama inilah Heidi mencipta sejarah muncul perenang jarak jauh pertama negara untuk layak ke temasya Olimpik empat tahun lalu dan dia mengulangi sejarah itu kali ini setelah menamatkan perlumbaan 10km perairan terbuka Pusingan Kelayakan Olimpik di tempat ke-18 dari 48 peserta.

Atlet berusia 27 tahun itu meraih tiket Olimpiknya atas kapasiti sebagai perenang terbaik Asia di luar kelompok 10 teratas setelah tampil cemerlang untuk merekodkan catatan masa impresif 1 jam 57:41.2s.

Perlumbaan itu dimenangi oleh atlet China, Xin Xin manakala juara dunia dua kali Keri-Anne Payne dari Great Britain pula menduduki tempat kedua, dan tempat ketiga pula menjadi milik Samantha Arevalo dari Ecuador.

Untuk rekod, Heidi adalah perenang kedua untuk layak ke Rio setelah terdahulu Welson Sim mengesahkan slot beraksi dalam acara 200m dan 400m gaya bebas lelaki. 

22 atlet lain yang telahpun mengesahkan tiket beraksi di Sukan Olimpik Rio adalah Pandalela Renong, Nur Dhabitah Sabri, Ooi Tze Liang, Cheong Jun Hoong, Wendy Ng (terjun), Azizulhasni Awang, Fatehah Mustafa (berbasikal), Johnathan Wong (menembak), Welson Sim (renang), Khairul Anuar Mohd (memanah), Khairulnizam Affendy, Nur Shazrin (pelayaran) dan Nauraj Singh (olahraga).

Mereka akan turut disertai lapan pemain badminton iaitu Dato’ Lee Chong Wei, Goh V Shem/Tan Wee Keong, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Tee Jing Yi dan Woon Khe Wei/Vivian Hoo.

- Advertisement -