gifu

Oleh Muhammad Aiman

Masih terlalu banyak perlu diperbaiki dalam skuad The Speedy Tigers, jika berhasrat memberi cabaran serius dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia di Kuantan Oktober depan seterusnya membentuk skuad mantap bagi kelayakan Olimpik 2020.

Hakikat itu terserlah setelah pasukan hoki negara tewas buat kali keempat kepada Jepun, pasukan di ranking ke-16 dunia pada Selasa, kali ini dengan keputusan 1-2 di Kakamigahara.

Hanya dua bulan selepas menamatkan Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di tangga tercorot, Jepun dilihat sebagai pasukan yang jauh lebih hebat berbanding Malaysia yang seolah-olah terus kehilangan identiti gara-gara kehilangan ramai pemain tonggak.

Malaysia mensesiakan kelebihan 1-0 di babak pertama hasil jaringan Harvinder Singh dan tewas menerusi jaringan minit akhir kepada tuan rumah namun sekali lagi, seperti kebiasaan Stephen Van Huizen tampil menegaskan bahawa pemain-pemainnya telah menunjukkan aksi lebih baik berbanding empat perlawanan lalu.  

“Pemain-pemain dilihat semakin bersemangat untuk membuktikan sesuatu setelah kekalahan 3-4 pada Ahad. Kita bermain jauh lebih baik hari ini (semalam), kita mencipta lebih peluang, lebih banyak memegang bola cuma di separuh masa kedua ada melakukan beberapa kesilapan yang dimanfaatkan Jepun. Mereka dalam proses pembelajaran dan saya gembira dengan peningkatan yang ditunjukkan,” kata Stephen.

Seperti diketahui, Jelajah Jepun ini digunakan oleh Stephen untuk memberi pendedahan kepada pemain-pemain muda dan baru setelah kehilangan ramai pemain tonggak atas pelbagai sebab.

Untuk rekod, Malaysia berada dalam siri latihan dan ‘perguruan’ selama 10 hari di negara matahari terbit itu sejak 6 Jun lalu dengan empat perlawanan latihan dan dua perlawanan ujian diatur untuk menguji kekuatan kedua-dua pasukan.

Empat perlawanan sebelum ini menyaksikan Malaysia tewas 1-5 dan 1-3 (perlawanan latihan) manakala dua perlawanan ujian berkesudahan tewas 3-4 dan seri 1-1.

Malaysia akan menutup cabaran di Jepun dengan mengharungi perlawanan latihan terakhir di Kakamigahara petang ini.

- Advertisement -