Oleh Muhammad Aiman
Pasukan memanah recurve lelaki menewaskan Jerman 6-2 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga Kejohanan Memanah Berpasukan Piala Dunia di Antalya, Turki pada Khamis sekaligus menyambar kuota terakhir dalam acara berpasukan ke Sukan Olimpik Rio De Janeiro.
Trio Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamarudin dan Nor Hasrin Muhd Akmal turun dengan misi wajib menang menentang Jerman, pasukan di kedudukan nombor 11 dunia setelah dikecewakan Indonesia 0-6 pada peringkat separuh akhir.
Namun, mereka mengetepikan debaran dan mengesahkan tiket ke Rio dengan penuh bergaya apabila bangkit dari ketinggalan satu set untuk menewaskan gandingan Florian Kahllund, Florian Floto dan Carlo Schmitz yang sebelum itu tunduk kepada Perancis di separuh akhir.
Malaysia sebelum itu layak ke separuh akhir setelah menundukkan Ukraine di pusingan awal dan kemudiannya mengejutkan pasukan pilihan India di suku akhir.
Untuk rekod, Piala Dunia Antalya yang juga pusingan kelayakan terakhir Olimpik menawarkan tiga kuota untuk diisi dengan dua lagi slot menjadi milik Indonesia dan Perancis – Indonesia muncul juara kejohanan dengan menewaskan Perancis 6-0 dalam aksi final.
Kejayaan trio recurve bermakna setakat ini Malaysia sudah ada 26 atlet yang layak beraksi di Rio Ogos depan setelah terdahulu atlet terjun Amsyar Azman menjadi atlet ke-24 untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu apabila disenaraikan untuk mengambil alih slot 3m papan anjal milik Ooi Tze Liang.