Oleh Muhammad Aiman
Skuad kebangsaan dikerah bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan di ranking ke-183 dunia, New Caledonia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stade Numa Daly, Noumea, pada Rabu.
Jaringan pemain tengah Amirulhadi Zainal pada minit ke-48 dan sepakan percuma Baddrol Bakhtiar lima minit kemudian memadam gol pendahuluan New Caledonia menerusi Jean Philipe Saiko di babak pertama sekaligus memastikan skuad bimbingan Datoâ Ong Kim Swee mengelak dari diaibkan sekali lagi dalam siri Jelajah Oceania.
Tidak seperti ketika kekalahan kepada Papua New Guinea minggu lalu yang mana Kim Swee membidas karakter pemainnya, kali ini pengendali itu memuji kesungguhan yang ditunjukkan barisan pemain Harimau Malaysia untuk bangkit meraih kemenangan penting.
âSaya perlu akui ianya perlawanan yang sukar, New Caledonia bermain cukup baik dan tidak memberi kita ruang di separuh masa pertama tetapi pemain-pemain kita bertindakbalas dengan baik di separuh masa kedua.
âKetinggalan 1-0, kita perlu lebih menyerang dan ketika rehat saya beritahu mereka supaya lebih agresif, perlu lebih cepat bergerak ke hadapan. Mereka memberi respon positif dan itu membawa perubahan besar kepada permainan kita sehingga berjaya dapatkan dua gol,â kata Kim Swee.
Kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain, dengan Malaysia terlebih dahulu kehilangan khidmat Azrif Nasrulhaq yang diperintah meninggalkan padang setelah dilayang kad kuning kedua pada minit ke-82 manakala Georges Bearune menerima nasib sama di pihak New Caledonia lapan minit kemudian.   Â
Meskipun melakar kemenangan tidak meyakinkan, keputusan ini pastinya diharap akan menjadi suntikan moral buat pemain setelah dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Papua New Guinea dalam aksi pertama Jelajah Oceania 17 Jun lalu.
Malaysia akan berdepan Fiji dalam aksi terakhir Jelajah Oceania 26 Jun ini, namun terpaksa melupakan khidmat pemain tengah Zaquan Adha Abdul Radzak yang patah pergelangan tangan.