subahan.1

Oleh Muhammad Aiman

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) membuat keputusan untuk mengenakan yuran kelulusan sebanyak US$5,000 bagi penganjuran kejohanan bertaraf remaja dan US$10,000 bagi kejohanan bertaraf senior, ke atas mana-mana persatuan negeri yang akan menjadi tuan rumah pertandingan antarabangsa.  

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata jumlah itu diputuskan jawatankuasa kewangan dan berpendapat ia adalah jumlah wajar yang tidak akan membebankan persatuan negeri.

“Tidak betul jika ada yang mengatakan bahawa ini jumlah terlalu besar kerana ia adalah sangat minimum. Ini bukan untuk membebankan sesiapa, tetapi ini adalah yuran yang perlu kita kenakan sejajar dengan apa yang dilaksanakan Persekutuan Hoki Dunia (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF).

“Sebagai contoh, AIF mengenakan US$20,000 untuk kita menganjurkan Trofi Juara-Juara Asia Oktober depan di Kuantan. Itu adalah jumlah yang besar, tapi suka tak suka ini keputusan mereka dan kita akur. Jadi, ianya sama dalam hal ini.  

“Bermakna selepas ini jika ada persatuan negeri seperti Sabah, Johor, Perak sebagainya berminat anjurkan pertandingan, mereka perlulah membayar jumlah yang ditetapkan ini.”

Subahan bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC di Seri Kembangan, pada Jumaat.

Untuk rekod, selain Piala Sultan Azlan Shah yang dianjurkan secara tahunan oleh Perak, Kejohanan Piala Sultan Johor juga merupakan antara kejohanan antarabangsa yang dianjurkan persatuan negeri.

- Advertisement -