jdt.pkns

Oleh Ku Mohd Lufti

Saingan pembukaan Piala Malaysia bermula dengan enam perlawanan berlangsung malam tadi.

Juara bertahan, Selangor antara yang cemerlang meraih tiga mata pertama selepas menundukkan pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Shah Alam.

Gol kemenangan The Red Giants dijaringkan Adam Nor Azlin ketika perlawanan  berbaki dua minit untuk ditamatkan.

Selangor menghuni tangga teratas kumpulan B, berkongsi tiga mata dengan Kelantan yang turut melakar kemenangan 1-0 ke atas Pahang di Kota Bharu hasil jaringan Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria.

Sementara itu dalam saingan kumpulan D turut menyaksikan dua pasukan, Felda United dan Melaka United berkongsi tiga mata selepas melakar kemenangan ke atas lawan masing masing.

Felda United menerajui kumpulan susulan kemenangan selesa 3-1 ke atas Negeri Sembilan di laman sendiri.

Francis Forkey Doe meledak dua gol dibabak kedua perlawanan selepas Christie Jayaselan membuka tirai gol untuk The Fighters diminit ke 27.

Gol saguhati Negeri Sembilan dijaringkan Annas Rahmat dim init ke 64.

Di Stadium Hang Jebat, tuan rumah, Melaka United meraih kemenangan pertama selepas menundukkan Terengganu 2-1.

Tuan rumah meledak dua gol pantas dalam masa tiga minit menerusi Ilija Spasojevic (minit 55) dan R Surendran (minit 58) untuk skuad kendalian Mat Zan Mat Aris selesa mendahului dua gol.

Namun pelawat bangkit merapatkan jurang menerusi Bogdan Milic diminit ke 73.

Dua pasukan melakar keputusan seri dalam aksi pembukaan Piala Malaysia malam tadi.

Kumpulan A menyaksikan Johor Darul Takzim 2 berjaya mengikat Terangganu FC 2 (T Team) 2-2.

Terengganu FC 2 terlebih dahulu mendahului dua gol menerusi Dilshod Sharofetdinov (minit 7) dan Norhakim Hassan (minit 16).

Namun kelebihan itu dipadam JDT 2 menerusi Zaqwan Adha (minit 48) dan Paolo Rangel (minit 53) untuk memastikan kedua dua pasukan pulang dengan satu mata.

Manakala Kumpulan C, Johor Darul Takzim terlepas peluang untuk meraih mata penuh selepas dua tonggak import PKNS FC Gabriel Guerra dan Juan Manuel Cobelli menafikan dua gol JDT yang dijaringkan Safee Sali dan Juan Martin Lucero.

- Advertisement -