Oleh Ku Mohd Lufti
Kesabaran mungkin tidak mampu lagi dibendung kerajaan Negeri Terengganu yang bercadang mahu mengambil alih pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) andai Skuad Peteh terus longlai.
Menteri Besarnya, Ahmad Razif Abdul Rahman PBSNT berkata, andai PBSNT gagal menyelesaikan masalah selepas tamat tempoh yang ditetapkan, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak memotong peruntukan yang disalurkan kepada  persatuan.
Beliau berkata pihaknya telah menyerahkan kepada Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat bagi menyelesaikan perkara itu bersama PBSNT.
“Kita melakukan pelaburan besar dalam bola sepak, namun hasil yang kita dapat tidak setimpal dengan pelaburan yang kita lakukan…biar berbaloi dengan apa yang kita keluarkan.
“Kita serahkan kepada mereka (PBSNT dan exco) untuk mencari jalan penyelesaian, dan jika masalah ini masih berterusan kerajaan negeri akan mengambil alih tampuk kepimpinan PBSNT,” katanya kepada pemberita, di sini Selasa.
Tambah Ahmad Razif lagi, pihaknya tidak mempunyai masalah membuat pelaburan dalam bola sepak, namun hasil diterima perlulah setimpal dengan apa dikeluarkan bagi memantapkan pasukan berkenaan.
“Mereka perlu bermain bersungguh-sungguh dan menunjukkan komitmen tinggi bagi memberi kepuasan kepada semua pihak termasuk penyokong,” katanya.
PBSNT mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih Skuad Peteh, Mike Mulvey, malah, Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abd Hamid turut mengumumkan akan meletak jawatan serta-merta jika skuad Penyu gagal mara ke suku akhir Piala Malaysia.
Untuk rekod, Terengganu kini menduduki tempat ketujuh Liga Super dengan 16 mata selepas 13 perlawanan.