gomez.jdt

Oleh Muhammad Aiman

Saingan Liga Super masih lagi berbaki lapan perlawanan untuk menutup tirai, tetapi ianya sudah boleh disimpulkan sebagai pertarungan dua penjuru antara pendahulu yang juga juara bertahan Johor Darul Takzim dan Felda United untuk dinobatkan sebagai juara mutlak.

Tamat perlawanan ke-14, hanya Felda masih lagi memberi tekanan kepada JDT setelah menundukkan PDRM 2-1, dengan hanya dipisahkan dua mata di belakang Harimau Selatan yang unggul di tangga teratas setelah mengumpul 36 mata.

Situasi ini menyaksikan jurulatih Felda, Irfan Bakti semakin berani memasang hajat besar merangkul kejuaraan buat kali pertama, bagaimanapun dia tidak mahu barisan pemainnya leka dan terbuai dengan kedudukan semasa, sebaliknya menuntut mereka untuk mengekalkan momentum yang tercipta sehingga ke akhir musim.

“Kami mahu memberi tentangan kepada JDT sehingga ke perlawanan terakhir. Keyakinan pemain cukup tinggi apatah lagi kami berada hanya dua mata sahaja di belakang JDT. Memang saya akui JDT mempunyai barisan pemain yang lebih baik, tetapi pemain-pemain saya turut menunjukkan aksi baik setakat ini,” ujar Irfan.

Tambah bekas jurulatih Terengganu itu, “Kami menjaringkan 32 gol dan melepaskan 13 gol manakala JDT pula menjaringkan 36 gol dan melepaskan 9, tidak ada banyak bezanya, sebab itu saya percaya kami boleh memberikan JDT cabaran sengit dalam merebut kejuaraan.”

Untuk rekod, Felda mendahului carta Liga Super selama dua bulan sebelum kekalahan mengejut 2-3 kepada Perak di pusingan pertama dan keputusan seri 2-2 menentang Pulau Pinang pada perlawanan pertama pusingan kedua membuka ruang kepada JDT untuk mengambil alih teraju liga.

Bagaimanapun Irfan menjangkakan skuad bimbingan Mario Gomez akan berdepan tekanan hebat untuk mengekalkan kejuaraan di Larkin buat musim ketiga berturut-turut yang akan mendorong mereka melakukan kesilapan dan mencicirkan mata.

Felda selepas ini akan berdepan pasukan tangga ketiga Selangor di Stadium Shah Alam pada Selasa ini, dan pengendali berusia 65 tahun itu berkata menentang Red Giants yang tidak konsisten dan sudahpun terkeluar dari pemburuan kejuaraan setelah mencatat seri 1-1 menentang Pulau Pinang, bukan satu kebimbangan buatnya.

“Menentang Selangor bukan satu masalah, kami boleh mengatasi mereka. Kebimbangan terbesar saya adalah jadual padat, sudah tentunya pemain-pemain keletihan secara fizikal dan mental untuk beraksi setiap tiga hari.

“Kami sedang bekerja keras untuk memastikan mereka dalam keadaan cergas untuk setiap perlawanan, setakat ini tindakan saya buat penggiliran pemain membuahkan hasil,” kata Irfan yang pernah membimbing Selangor pada 2012.

- Advertisement -