P_20160727_124736

Oleh Muhammad Aiman

Gandingan beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei menyandarkan kepada tuah undian untuk cuba melangkah sejauh mungkin di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro yang akan berlangsung dari 5 – 21 Ogos depan.

Bercakap mengenai sasaran di temasya sukan berprestij dunia itu, Vivian berkata di sebalik cabaran sengit yang bakal dilalui, peluang terbuka buat pasangan di ranking ke-15 dunia itu untuk setidak-tidaknya mara ke peringkat suku akhir, malah tidak menolak kemungkinan boleh mencipta kejutan lebih besar.   

“Saya lihat ianya satu undian yang agak bagus juga untuk kami, dapat elak pasangan yang lebih kuat seperti dari Denmark dan China. Pasangan pilihan semuanya diundi dalam kumpulan lain, manakala pasangan paling kuat dari kalangan bukan pilihan juga tidak diundi dalam kumpulan kami. Ini satu tuah bagi kami.

“Kami perlu mengambil dan menggunakan sebaik mungkin peluang ini, untuk ke suku akhir peluang sudah ada, yang penting kami tidak boleh terlalu yakin. Olimpik ni suasana dia lain, tekanan lebih tinggi, semua pun mahu menang jadi tidak boleh harapkan perlawanan yang mudah.

“Kami akan turun di temasya ini sebagai bukan pilihan, jadi kemungkinan tiada banyak tumpuan akan diberikan. Ia akan membolehkan kami memberi fokus kepada persiapan dan jika kami berada pada prestasi terbaik pada hari perlawanan, tidak mustahil boleh melakukan satu atau dua kejutan dan mara lebih jauh. Tetapi buat masa ini, suku akhir adalah yang paling relevan bagi kami,” kata Vivian.

Manakala Khe Wei pula menyifatkan sokongan padu seluruh rakyat Malaysia adalah azimat besar yang akan menjadikan mereka lebih kuat dan bersemangat memberikan yang terbaik untuk mengharumkan nama negara di bumi Rio.

Vivian dan Khe Wei diundi dalam Kumpulan C bersama-sama pilihan ketiga dari Indonesia, Nitya Krishinda Maheswari/Greysia Polii, serta dua lagi pasangan kurang ternama Heather Olver/Lauren Smith dari England dan Poon Lok Yan/Tse Ying Tsuet dari Hong Kong dengan dua pasangan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir.

Cabaran terbesar buat Vivian dan Khe Wei sudah tentunya Nithya dan Greysia, dan seandainya mereka boleh mengejutkan juara Terbuka Singapura 2016 itu dan menjuarai Kumpulan C, mereka mungkin boleh menjangkakan aksi suku akhir yang lebih mudah.

- Advertisement -